140 inisiatif untuk beri khidmat terbaik kepada ‘Dduyufurrahman’

140 inisiatif untuk beri khidmat terbaik kepada ‘Dduyufurrahman’

Majlis Presiden Agung bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi (GPH) merancang 140 inisiatif untuk dilaksanakan oleh 10,000 petugas untuk memberi khidmat kepada jemaah Haji di Tanah Suci.

GPH, dalam kenyataan yang memetik Pengarah GPH ash-Shaykh ‘Abdur-Rahmaan ibn ‘Abdil-‘Azeez as-Sudays mengesahkan kesiapsiagaan GPH untuk memberi khidmat kepada Duyufurrahman di samping ketersediaan semua kemudahan yang diperlukan untuk membolehkan mereka mengerjakan Rukun Islam kelima itu dengan selesa, mudah dan selamat.

Ash-Shaykh ‘Abdur-Rahmaan berkata selain inisiatif itu, beberapa elemen berkaitan kemajuan kerja, mempertingkatkan prestasi, latihan sumber manusia, dan tugasan sepanjang masa turut dirancang bagi memastikan jemaah mendapat perkhidmatan terbaik.

“Pelan Haji 1440h bermatlamat mencapai beberapa objektif yang turut merangkumi bantuan kepada tetamu Allah dalam mengerjakan ibadah mereka dengan selesa, tenang dan aman, tanpa sebarang halangan ketara.

“Setiap sumber akan dimanfaatkan, pertimbangan diambil kira dengan menggunakan kebijaksanaan dan kaedah berkesan untuk memandu arah, menyediakan segala keperluan dan kesemua ini dipersiapkan bagi memenuhi standard yang dihasratkan oleh kepimpinan negara,” katanya.

Ash-Shaykh ‘Abdur-Rahmaan berkata Penjaga Dua Kota Suci ingin memastikan keselamatan, perlindungan dan keselesaan kesemua tetamu Allah, bagi membolehkan mereka memberi sepenuh tumpuan terhadap ibadah yang akan mereka jalani.

Katanya GPH turut menyediakan terjemahan langsung khutbah Jumaat ke dalam sepuluh bahasa yang disampaikan di kedua-dua masjid agung itu, di samping terjemahan langsung khutbah Arafah dalam pelbagai bahasa bagi manfaat para jemaah.