Malaysia Dateline

141 rakyat Malaysia di China akan dibawa pulang

Seramai lapan petugas terlibat dalam misi membawa pulang seramai 141 rakyat Malaysia termasuk pasangan dan anak mereka dari Wuhan, China.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memaklumkan, penerbangan pesawat Air Asia AK8264 turut membawa bersama 500 ribu pasang sarung tangan getah sebagai sumbangan kepada kerajaan China dalam operasi membanteras penularan 2019-nCoV di negara itu.
“Semua 141 penumpang ini akan melalui tapisan kesihatan mengikut ketetapan pihak penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Tianhe Wuhan sebelum dibenarkan memasuki pesawat untuk berlepas balik ke Malaysia.
“Tempoh masa yang diambil untuk tapisan kesihatan, proses imigrasi dan kebenaran berlepas tidak dapat dipastikan buat masa ini.
“Sebaik sahaja tiba di Malaysia, semua 167 penumpang yabg termasuk 12 krew, lapan petugas misi dan enam pegawai daripada Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, sekali lagi akan melalui tapisan kesihatan di Air Disaster Unit (ADU), KLIA,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Nadma berkata, bagi mereka yang dikesan mempunyai simptom virus berkenaan, akan terus dibawa ke hospital.
Manakala yang melepasi saringan akan dibawa terus menaiki bas ke Pusat Pemantauan yang telah ditetapkan untuk tujuan pemantauan bagi tempoh 14 hari.
Sehubungan itu, Nadma akan berhubung keluarga mereka yang terlibat untuk memaklumkan urusan penerbangan pulang dan memberi penerangan berkaitan proses kuarantin yang perlu dilalui ahli keluarga mereka sepanjang 14 hari.