Malaysia Dateline

14,516 kes baharu, 55 peratus kes dikesan di Lembah Klang

Jangkitan baharu Covid-19 bertambah 14,516 kes hari ini menjadikan jumlah keseluruhan pandemik itu mencecah 1,027,954 kes.

Angka positif Covid-19 hari ini menurun sedikit berbanding rekod tertinggi 17,045 kes semalam dengan 55 peratus kes dikesan di Lembah Klang.

Selangor kekal negeri tertinggi kes harian dengan 6,508 kes manakala Kuala Lumpur (1,425 kes) dan Putrajaya 94 kes.

Sementara itu, Kedah terus menyaksikan jangkitan empat angka iaitu 1,160 kes menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negeri utara tanah air itu kini mencecah 39,637 kes.

Turut mencatatkan kes baharu digit empat angka mulai hari ini ialah Johor dengan 1,449 kes sekaligus peningkatan jangkitan baharu untuk tiga hari berturut-turut.

Sementara itu, Sabah dan Perak mencatatkan penurunan kes hari ini berbanding semalam dengan masing-masing 720 kes dan 590 kes hari ini.

Dua negeri pula dilapor melebihi 400 kes dengan Negeri Sembilan sebanyak 452 kes manakala Pulau Pinang 402 kes baharu.

Terdapat empat negeri merekodkan jangkitan baharu Covid-19 melebihi 300 kes iaitu Pahang (386 kes), Melaka (373 kes), Sarawak (356 kes) dan Kelantan (346 kes).

Ketika kes baharu di Kelantan meningkat berbanding 266 kes semalam, jirannya, Terengganu kekal dengan lebih 200 kes iaitu 245 kes hari ini.

Dua lagi negeri dan wilayah mencatatkan kes baharu kurang 10 kes iaitu Labuan (lapan kes) dan Perlis (dua kes).

Selangor merekodkan jumlah 373,977 kes Covid-19 dengan pertambahan 6,508 kes hari ini.