Malaysia Dateline

1,458 sekolah di Sarawak dibuka bagi sesi pembelajaran 2020

Sebanyak 1,458 sekolah di Sarawak telah dibuka bagi sesi pembelajaran tahun 2020 yang bermula hari ini.

Menurut Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak Dr Azhar Ahmad, seramai 36, 341 murid berdaftar untuk kemasukan ke Tahun Satu di seluruh Sarawak pada tahun ini.

Manakala, katanya seramai 238,183 orang murid bersekolah di 1,265 sekolah rendah seluruh negeri yang mana jumlah berkenaan merangkumi 36,341 murid yang telah didaftar untuk kemasukan ke Tahun Satu.

“Pada tahun ini, sebanyak 1,458 sekolah beroperasi di Sarawak iaitu 193 sekolah menengah dan 1,265 sekolah rendah.

“Ini adalah pertambahan 16 kelas, keseluruhannya yang mana terdapat sebanyak 1,521 kelas prasekolah telah diwujudkan di 1,122 institusi pendidikan di Sarawak.

“Kelas-kelas prasekolah ini merangkumi 1,308 kelas di Sekolah Kebangsaan (SK) termasuk empat buah di rumah panjang, 183 kelas di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), dua kelas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), empat kelas di Institusi Pendidikan Guru (IPG), tujuh kelas di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan enpat kelas di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK),” katanya dalam satu kenyataan di Kuching hari ini.

Azhar berkata, keseluruhan jumlah kanak-kanak yang diluluskan bagi memulakan alam persekolahan di prasekolah ialah seramai 22,959 orang (tidak termasuk pendaftaran lewat).

“Bagi murid sekolah menengah pula, tambahnya, seramai 185,779 murid akan meneruskan persekolahan
pada sesi 2020 dari peringkat kelas Peralihan hingga Tingkatan Lima ditempatkan di 193 sekolah menengah seluruh Sarawak, ” jelasnya lagi.

Beliau memberitahu, jumlah tersebut adalah termasuk seramai 39,993 murid Tahun Enam yang akan meneruskan persekolahan di peringkat menengah.