14,716 mangsa banjir di Selangor ditempatkan di 103 PPS

Oleh KIM SYAZIE

Seramai 14,716 orang mangsa telah ditempatkan di 103 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh Selangor.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan, daerah Klang mencatatkan jumlah tertinggi mangsa banjir.

“Kerajaan Negeri masih berusaha mencari dan menyelamatkan mangsa banjir di kawasan terlibat,” ciapnya di Twitter.

Di ruangan komentar, Amirudin turut memaklumkan bahawa kerja-kerja menyelamat penduduk di kawasan Taman Sri Muda, Shah Alam sedang diusahakan.

Kawasan berkenaan dikenalpasti sebagai antara kawasan yang penduduknya masih lagi terperangkap di dalam rumah sejak malam semalam.

Pusat Khidmat Rakyat Parlimen juga sejak semalam sudah menggerakkan jentera untuk membantu mangsa-mangsa banjir yang terlibat.

“Sedang diusahakan. Paras air yang tinggi di kawasan Taman Sri Muda menyebabkan ia hanya boleh dilalui oleh bot. Usaha sedang giat dilakukan untuk selamatkan mangsa dan hulur bantuan,” kata Amirudin.