Malaysia Dateline

149 janji Buku Harapan cabaran besar untuk direalisasikan PH

Cabaran yang dihadapi oleh kerajaan kini bukan suatu perkara yang mudah, malah bagaimana untuk menunaikan 149 janji-janji dalam Buku Harapan merupakan suatu cabaran yang amat besar untuk direalisasikan.

Demikian dinyatakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Tengah Gooi Hsiao Leung ketika ditemui semasa menerima borang penubuhan ranting baru PKR Bandar Perda, Permatang Pauh.

Tegas beliau lagi, cabaran kerajaan kini ialah bagaimana hendak menunaikan segala janji sedangkan negara sedang menghadapi masalah ekonomi termasuklah hutang negara yang mencecah RM1 trilion setelah ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu.

“Kerajaan kini menghadapi pelbagai rintangan termasuk penyatuan Umno-Pas yang semakin galak memainkan isu politik perkauman.

“Bagaimana cara yang boleh dilaksanakan bagi memastikan Umno-Pas mampu dibenamkan sekali lagi sekiranya perpaduan dalam parti juga masih belum stabil serta mampu memberi kesan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Konflik dan krisis dalaman bukan saja akan memberi kesan kepada PKR semata-mata, tetapi juga impak kepada rakyat yang telah memberi kepercayaan untuk menjadi kerajaan dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14 yang lalu, ” ujarnya.

Gooi Hsiao Leung (kiri) tengah) menerima borang penubuhan ranting baru PKR Bandar Perda, Permatang Pauh dengan kemasukan 300 ahli baru.

Beliau yang juga merupakan Ahli Majlis Pimpinan PKR Negeri Pulau PinangĀ  turut berkata, cabaran dalaman mesti diatasi dengan seberapa segera kerana ia memberi kesan yang amat besar kepada parti dan juga kerajaan.

“Pendirian defensif tidak lagi sesuai dan serangan habis-habisan mesti dipergiatkan sehingga menjelangnya PRU ke 15 yang akan datang.

“Kerajaan PH kini perlu mempunyai dasar yang mampu meyakinkan anak muda bahawa kita kini memberi perhatian terhadap kebajikan, pendidikan, peluang pekerjaan dan seumpamanya kepada mereka.

“Sekiranya kita tidak lagi mendengar suara rakyat dan tidak dapat memberi khidmat yang berkesan kepada mereka, maka ia merupakan suatu kerugian yang amat besar menjelang PRU ke 15 yang akan datang. ” jelasnya lagi.

Sehubungan itu katanya, segala janji yang telah dinyatakan sebelum ini mesti direalisasikan agar rakyat akan tetap yakin bahawa kerajaan PH mampu untuk meneruskan agenda perjuangan bagi membela nasib rakyat.

Dalam pada itu, Gooi turut menerima 300 borang keahlian baru penubuhan ranting baru PKR Bandar Perda, Permatang Pauh.