Malaysia Dateline

15 anggota polis, tentera, Rela nyaris dirempuh pemandu mabuk

Mujur 15 anggota barisan hadapan yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) berhampiran Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, semalam tidak dirempuh pemandu mabuk.

Seorang lelaki berusia 57 tahun ditahan kerana merempuh SJR berkenaan apabila kereta Toyota Vellfire dipandu secara berbahaya dari arah Georgetown ke Bayan Lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata lelaki terbabit kemudian melanggar kon keselamatan pertama dan diseret sehingga ke khemah yang menempatkan petugas keselamatan pada jam 8.30 malam itu.

“Seramai 15 anggota keselamatan yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bertugas di situ tidak cedera.

“Lelaki yang tinggal di Jalan Pantai Jerjak, Sungai Nibong itu ditahan sejurus kenderaannya berhenti,” katanya lapor BH.

Soffian berkata, ujian pernafasan mendapati lelaki itu berada bawah pengaruh alkohol dengan kandungan bahan berkenaan melepasi had dibenarkan.

Katanya, tindakan suspek turut merosakkan beberapa peralatan termasuk dua papan tanda sekatan jalan raya, lampu beacon dan kon keselamatan.

Terdapat beberapa saksi melihat kejadian itu namun didapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi berkenaan.

“Lelaki terbabit tidak mempunyai rekod jenayah lampau tetapi memiliki 38 saman atas kesalahan memandu laju dan kesemuanya sudah dijelaskan.

“Lelaki itu direman dua hari sehingga esok bagi tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 45(A) (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Suspek juga akan disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan, Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Seksyen 26 (2) Akta Polis,” katanya.