Malaysia Dateline

15 % kelengkapan LCS yang sudah dibeli absolete, ini kenyataan CEO BNS sendiri

Bousted Naval Shipyard (BNS) diingatkan bahawa pihak yang memaklumkan bahawa 15 peratus kelengkapan LCS yang telah dibelinya telah memasuki tarikh luput (absolete) adalah Ketua Pegawai Ekssekutif (CEO) BNS sendiri.

(Gambar atas: Pasukan PAC melawat limbongan kapal BNS tempat pembinaan LCS. Ia sangat menyedihkan, kata Pengerusi PAC).

Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil dalam kenyataannya hari ini berkata, Kapten (B) Ir. Azhar Jumaat sendiri yang memaklumkan perkara ini kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) pada 11 Disember 2021 lalu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab laporan Bernama kononnya CEO BNS itu berkata, tiada kerugian RM1.7 bilion sebagaimana yang didakwa kerana kelengkapan KD Maharaja Lela itu akan digunakan 100 peratus untuk lima buah kapal terbabit.

Fahmi menunjukkan keratan kenyataan Azhar kepada PAC pada 11 Disember 2021 lalu.

“Ada satu maklumat penting yang saya hendak bangkitkasn di sini ialah isu kos ataupun value peralatan yang disimpan di dalam stor kita.

“Kita anggarkan dalam RM1.7 bilion yang masih lagi berada dalam stor atau pun bilik simpanan,” kata Azhar dalam catatan PAC itu.

Ketika ditanya oleh Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, Azhar berkata, “Kita ada proses pemantauan yang very terperinci. Kita membuat laporan kepada pasukan projek TLDM secara bulanan.

“Kita anggarkan kalau daripada segi percentage, sekarang ini dalam 15 peratus yang menjangkau atau menghampiri proses absolete,” kata Azhar berdasarkan catatan PAC pada muka 40 laporan prosiding Bil 1(h)2022 bertarikh 11 Disember 2021.

Menurut siasatan PAC, akibat dari pertukaran rekabentuk LCS, banyak barangan untuk pembinaan kapal LCS telah tidak boleh digunakan lagi kerana telah menghampiri atau melangkau tarikh luput.

Dalam kenyataannya semalam, Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata, “Sejurus selepas laporan PAC mengenai Kapal Tempur Pesisir (LCS) dibentangkan, seorang rakan wartawan telah menghantar mesej kepada saya, bertanya “Apakah perasaan anda?”

“Saya jawab, menyedihkan,” kata Wong dalam tulisan di facebooknya.

Menurut Wong, dalam lawatan beliau dan anggota PAC serta sekretariatnya, beliau dan rombongan telah meluangkan masa kira-kira satu jam dalam LCS1 dan kemudiannya pulang ke bas.

“Bas ini membawa kami ke seluruh tapak pembinaan untuk LCS1 hingga ke LCS5.

“Sudah tidak ada pekerja di tapak pembinaan ini, baik tempatan atau pekerja asing, dan sudah tidak ada kerja yang berjalan. Kosong, segalanya terhenti.

“Perkara ini amat menyedihkan memandangkan kita semua tahu yang RM6 billion telah pun dibelanjakan,” tulis Wong.