Malaysia Dateline

15 jemaah masjid maut dalam dua minggu: ‘Sekarang rasa macam dia masih dirawat di wad’

Serangan virus Covid-19 sangat bahaya sehingga boleh meragut banyak nyawa dalam tempoh yang singkat.

Seorang penduduk di Taman Mahsuri Fasa 2A, Jitra, Kubang Pasu bercerita bagaimana beliau masih terasa Allahyarham suaminya, Ismail Putih, 63, masih dirawat di wad.

Fadzilah Kassim, 57, yang juga dijangkiti pandemik itu berserta tiga anaknya berkata, suaminya benar-benar ‘pulang’ pada hari kelima seperti dijanjikan selepas keluar untuk ke pusat kuarantin pesakit Covid-19 di Kulim pada 30 Mei lalu.

“Jangan lupa, hari kelima jemput ayah balik, masa tu mesti dah lega,” pesan arwah dengan penuh yakin sebelum menaiki ambulans di rumahnya di Taman Mahsuri.

Ketika mengimbas detik itu, Fadzilah berkata, kali terakhir bertentang mata dengan suaminya itu, arwah cukup ceria walaupun ‘sakit’.

“Hari itu, sebelum pergi ke pusat kuarantin, arwah sempat bergurau dengan anak-anak dan siap buat video rakamkan perjalanannya ke pusat kuarantin,” dipetik Bernama hari ini.

Jelasnya, seramai 14 jiran yang tinggal di kawasan perumahan sama turut meninggal dunia dalam tempoh hanya kira-kira dua minggu.

“Saya kenal mereka semua, kebanyakan dah tua, tapi ada juga yang muda. Cepatnya ya Allah, sebaik tiba di Kulim, saya diberitahu keadaan suami terus kritikal dan dia dibawa ke Hospital Kulim dan terus ‘ditidurkan’. Pada 4 Jun, tepat jam 12 tengah hari, dia dah tak ada (meninggal dunia).

“Tapi saya rasa macam dia masih ada, sebab masa pergi dia nampak sihat macam biasa. Dia cuma ada kencing manis.

“Umur memang sudah 60 lebih, tapi dia masih aktif, fit dan ‘handsome’. Sekarang rasa macam dia masih dirawat di wad, tak boleh balik lagi,” luahnya.

Untuk rekod, Kluster Dah Mahsuri yang melibatkan kawasan kejiranan didiami Fadzilah bermula dengan kes indeks seorang lelaki berusia 66 tahun yang dilaporkan positif Covid-19 pada 8 Mei lalu hasil saringan individu bergejala.

Kes indeks bagi kluster kategori keagamaan itu menurut Kementerian Kesihatan (KKM) mula bergejala pada 5 Mei dengan 150 individu terlibat dalam saringan.

Mengulas lanjut, Fadzilah berkata, beliau masih cuba menerima kenyataan dan bersyukur kerana mendapat sokongan yang kuat daripada ahli keluarga serta rakan-rakan, yang tidak jemu bertanya khabarnya dan anak-anak.

“Arwah dikenali ramai sebab dia bekas pegawai kepada wakil rakyat di kawasan kami. Arwah selalu turun bersama untuk tengok masalah dan bantu bagi sumbangan kepada masyarakat.

“Jadi, ramai yang kenal arwah, ambil berat anjurkan bacaan Yasin serta tahlil untuk arwah,” tambah Fadzilah lagi.