Malaysia Dateline

15 maut dalam pertempuran di wilayah utara Afghanistan

Sekurang-kurangnya tujuh tentera dan lapan militan terbunuh dalam pertempuran di wilayah Kunduz, utara Afghanistan, lapor agensi berita Xinhua memetik seorang pegawai tempatan pada Khamis.

Pertempuran meletus selepas militan Taliban menyerang pusat pemeriksaan keselamatan di luar bangunan pentadbiran daerah Qalay-i-Zal, kata ketua daerah, Ahmad Fahim Qarloq.

Sebahagian besar militan yang terbunuh adalah anggota Taliban Sara Ketta atau Unit Merah.

Jurucakap Taliban, Zabiullah Mujahid berkata Taliban mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu.

“Anggota kami telah mengalahkan kem pasukan keselamatan di Qalay-i-Zal, membunuh dan mencederakan puluhan askar dan merampas senjata serta peluru,” katanya.

Tambahnya, dua anggota Taliban turut terbunuh.

Keganasan semakin meruncing sejak pasukan keselamatan Afghanistan melancarkan operasi besar-besaran membanteras kumpulan anti-kerajaan sejak pengunduran tentera asing dalam tempoh empat tahun lalu.

Pada Rabu, sekurang-kurangnya 16 kakitangan syarikat tempatan terbunuh dan sembilan yang lain cedera, selepas lima lelaki bersenjata dan pengebom bunuh diri menyerang sebuah kompleks berhampiran lapangan terbang tempatan di bandar Jalalabad.

— BERNAMA