Malaysia Dateline

15 murid sesak nafas: Pakar alam sekitar tidak tolak kemungkinan berpunca gas bocor

Pakar Alam Sekitar, Dr Wan Mohd Faizal Wan Ishak tidak menolak kemungkinan kejadian 15 murid sesak nafas dan muntah berpunca daripada gas industri yang bocor.

Kesemua murid itu dari Sekolah Agama Taman Mawar, Pasir Gudang, terletak kira-kira 7 kilometer dari Sungai Kim Kim yang pernah tercemar akibat bahan kimia pada Mac lalu.

Bagaimanapun katanya, siasatan secara terperinci perlu dilakukan pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca sebenarnya murid-murid itu mengalami gejala sesak nafas dan muntah-muntah.

“Kita pun tak dapat nak pastikan punca kejadian itu sama ada berpunca gas klorin atau sebaliknya.

“Apa pun, pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan dengan segera kerana kita tidak mahu tragedi seperti di Sungai Kim Kim berulang.

“Tindakan pantas memang wajib diambil kerana ini melibatkan nyawa manusia, lebih-lebih kawasan di situ mempunyai sekolah,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline, hari ini.

Memetik laporan media tempatan, 15 murid yang mengalami gejala sesak nafas dan muntah itu dipercayai akibat pencemaran udara.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Ibrahim Omar, berkata pemeriksaan awal mendapati, berlaku pencemaran udara dengan 15 murid mengalami simptom muntah-muntah dan sesak nafas.

Susulan kejadian itu, Ibrahim memaklumkan, antara langkah awal yang sedang dilakukan adalah, menyediakan tempat untuk nyahcemar.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan juga tidak menolak kemungkinan gejala sesak nafas dan muntah dialami 15 murid itu, seakan sama dengan gejala kesan pencemaran Sungai Kim Kim sebelum ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly, berkata pihaknya sedang memantau rapi perkembangan kes berkenaan termasuk akan berhubung rapat dengan Pengarah Kesihatan Negeri Johor bagi mengetahui situasi semasa.