15 pasukan sertai Liga Futsal Perdana Malaysia

15 pasukan sertai Liga Futsal Perdana Malaysia
Sebanyak 15 pasukan termasuk lima pasukan wanita mengesahkan penyertaan pada edisi sulung liga profesional futsal negara, Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) yang dilancarkan  oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di sini hari ini.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, penganjuran kejohanan berkenaan merupakan langkah ke hadapan badan induk itu dalam menjadikan sukan futsal menuju ke era profesional, selaras dengan Pelan Hala Tuju FAM iaitu F30 yang dilancarkan pada tahun lepas.

Beliau turut mengharapkan kejohanan berkenaan menjadi medan terbaik untuk pasukan bertanding mencari penaja masing-masing, sekali gus mengurangkan kebergantungan bantuan kewangan daripada FAM.

“FAM memahami masalah kewangan yang melanda pasukan bertanding dan kita berharap mereka dapat memulakan liga ini dengan bajet berhemah,” katanya pada sidang media selepas melancarkan kejohanan berkenaan.

Sepuluh pasukan lelaki yang menyertai kejohanan ini terdiri daripada Kedah, KL City, Kuala Lumpur, Melaka, Pahang, Perak, Perlis, Sarawak, Selangor dan Terengganu, selain lima pasukan wanita terdiri daripada Kedah, Kuala Lumpur, Perak, Perlis dan Selangor.

Ditanya mengenai penggunaan pemain import, Hamidin menjelaskan perkara berkenaan mungkin akan dilaksanakan dalam tempoh dua atau tiga tahun bermula dari sekarang bagi mengelakkan pasukan terlibat berdepan dengan masalah tunggakan gaji yang sedang melanda beberapa pasukan Liga Malaysia, ketika ini.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Michael Ramalingam berkata penganjuran kejohanan berkenaan merupakan salah satu syarat ditetapkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi membolehkan kelab futsal di negara ini mendapat lesen, sekali gus layak beraksi dalam kejohanan futsal di bawah AFC.

“Pelesenan kelab ini mempunyai pelbagai peringkat termasuk jurulatih futsal yang perlu mendapatkan sijil kejurulatihan peringkat kedua sekiranya kelab mereka mahu bertanding dalam kejohanan di bawah AFC, namun kebanyakan jurulatih kita hanya mempunyai sijil peringkat pertama,” katanya.

MPFL yang akan bermula pada April ini akan berlangsung selama enam bulan dengan menggunakan format timbal balik, dengan juara bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM100,000 manakala naib juara meraih wang tunai sebanyak RM50,000.

— BERNAMA