Gagal mengemukakan bukti lengkap suntikan dua dos vaksin 15 remaja yang berusia 14 hingga 18 dikompaun RM2,000 setiap seorang ketika mendaki Bukit Panau Tanah Merah hari ini.
Kompaun dikeluarkan hasil pemeriksaan pihak polis terhadap pengunjung di kawasan berkenaan mulai jam 7.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Zainuddin Md Yusuf berkata, kompaun itu dikeluarkan apabila mereka gagal mengemukakan bukti vaksinasi lengkap melalui aplikasi MySejahtera.
“Seramai 15 pengunjung lagi diberi amaran kerana leka dan tidak mengamalkan penjarakan fizikal dan jika diulangi, kita akan saman,” katanya ketika dihubungi, lapor Hmetro.
Zainuddin berkata, pemantauan itu membabitkan 10 anggota polis, dua kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah dan seorang anggota Rela dengan pemantauan dibuat bermula dari kaki bukit sehingga ke puncak.
Katanya, tindakan itu dijalankan mengikut Peraturan 16 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPN) P.U(A) 293/2021.
“Anggota KKM sudah membuat hebahan berkaitan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi termasuk memberi nasihat kepada pengunjung berkaitan penjarakan dan pemakaian pelitup muka.
“Kita akan buat operasi sebegini secara berkala dan dinasihatkan kepada pengunjung agar terus mematuhi SOP serta perlu lengkap dua dos vaksin sebelum menjalankan aktiviti pendakian,” katanya.