Malaysia Dateline

150 pelajar pelbagai kaum terima sumbangan pakaian seragam sekolah

Seramai 150 pelajar dari golongan asnaf yang terdiri daripada keturunan Melayu, Cina dan India dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Permatang Pasir, telah berpeluang mendapat pakaian seragam sekolah sebelum menjelangnya sesi persekolahan tidak lama lagi dari Adunnya, Faiz Fadzil kelmarin.

Faiz yang turut turun padang berkata, sumbangan sepersalinan pakaian seragam sekolah tersebut dibuat lebih awal bagi memudahkan keluarga terbabit membuat persiapan awal.

Selain itu katanya, dengan turun padang beliau dapat mendekati dan beramah mesra serta mendengar sendiri keluhan dan masalah yang dihadapi oleh keluarga terbabit.

“Disamping itu peluang tersebut juga dimanfaatkan bagi menyantuni para pelajar dan waris mereka yang terdiri daripada golongan asnaf dan marhaen.

“Secara tidak langsung program ini mampu menjana dan meningkatkan ekonomi peniaga terlibat.

“Program yang diadakan lebih awal ini adalah sejajar dengan konsep ‘rahmatan lil alamin’ serta melibatkan rakyat dari pelbagai golongan masyarakat, ” ujarnya.

Faiz bersama pelajar sekitar kawasan Dun Permatang Pasir mencuba uniform sekolah kelmarin di Permatang Pauh

Malah kata Faiz lagi, prinsip keadilan untuk semua golongan masyarakat yang dilaksanakan membuktikan sikap toleransi antara kaum amat penting.

“Ia juga berperanan bagi menjamin keharmonian kehidupan dalam negara yang mempunyai pelbagai masyarakat majmuk.

“Sehubungan itu, memberi sokongan kepada mereka yang memerlukan harus menjadi suatu tanggungjawab dan komitmen sebagai sebuah kerajaan.

“Hasil pendekatan tersebutlah menyebabkan AMANAH terus mendapat sokongan bukan saja dikalangan masyarakat Melayu, tetapi juga lain-lain masyarakat yang ada dalam negara ini, ” tambahnya lagi.