Malaysia Dateline

150 skuter disediakan untuk delegasi APUF7 15 Oktober ini

Sebanyak 150 skuter elektrik disediakan bagi delegasi yang akan menghadiri Asia Pacific Urban Forum atau APUF 7 yang akan diadakan di Pulau Pinang mulai 15 hingga 17 Oktober.

Demikian dinyatakan oleh Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Ar.Yew Tung Seang semasa majlis pelancaran penggunaan skuter tersebut pada Rabu.

Jelasnya, penyediaan skuter elektrik tersebut adalah hasil kerjasama antara MBPP dengan syarikat swasta Anywheel yang juga merupakan rakan kongsi mobiliti penganjuran forum tersebut.

“Skuter tersebut boleh digunakan oleh para delegasi sekitar kawasan forum yang bertempat di Setia Spice Convention Centre.

“Ketika ini, skuter tersebut akan digunakan semasa penganjuran forum tersebut sahaja.

“Namun begitu MBPP sedang mengenal pasti laluan yang lebih mesra bagi pengguna skuter tersebut, ” ujarnya.

Beliau juga berkata, penilaian akan turut dibuat bagi memastikan samada skuter tersebut sesuai atau tidak digunakan bagi bandaraya ini.

Tambahnya lagi, skuter tersebut boleh bertahan serta mampu bergerak sehingga 45 kilometer dalam tempoh antara tiga hingga empat jam.

Sehubungan itu katanya, sebagai projek perintis maka kawasan sekitar Bayan Baru akan turut disediakan dengan beberapa buah stesen skuter elektrik tersebut.

Malah tegasnya, para pengguna boleh mengenal pasti stesen skuter tersebut melalui aplikasi Anywheel di telefon pintar mereka.