Malaysia Dateline

1,500 pokok ditanam pada Program Go Green With SASET

Seramai 31 orang pelajar dan kakitangan dari Universiti Limkokwing dibenarkan menanam 1,500 pokok hutan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Sungai Ichat, Cameron Highlands dalam  program Go Green With SASET  yang diadakan pada 15 Februari lepas.

Program pemuliharaan kawasan terosot dan alam sekitar itu telah dianjurkan oleh Sultan Ahmad Shah Environmental Trust (SASET) dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan Majlis Belia Malaysia Pahang.

Selain pelajar Limkokwing, ahli persatuan badan beruniform seperti  Puteri Islam, Pandu Puteri dan Pengakap serta pelajar dari sekolah-sekolah di sekitar Cameron Highlands dan masyarakat setempat seramai 300 orang turut hadir bagi menghijaukan kawasan terbabit.

Para sukarelawan telah menanam 1,500 pokok yang terdiri daripada empat spesis pokok hutan iaitu Merawan Siput Jantan, Menglembu, Merbau dan Damar Minyak.

Kawasan Cameron Highlands penting untuk sektor pelancongan dan hidupan liar yang tinggal di kawasan tersebut. HSK Sungai Ichat seluas 121 hektar (300 ekar) sebelum ini diteroka secara haram dan dijadikan kebun sayur dan bunga hingga menyebabkan pencemaran pada kawasan tadahan air penduduk setempat.

Ini merupakan kali pertama SASET mengadakan program seperti ini di Cameron Highlands yang diilhamkan oleh Tengku Arif Temenggong, Tengku Fahd Mua’adzam Shah dan mendapat sokongan penuh dari masyarakat setempat untuk menyelamatkan kawasan terbabit dari petani haram.

Salah seorang peserta Fathmath Sadha Mohamed dari Maldives berkata, program “Go Green With SASET” memberi pendedahan mengenai cara menanam pokok dan berinteraksi dengan masyarakat setempat.

“Saya lihat semua pelajar sangat teruja dan terima kasih kepada JPNP yang menyediakan lubang penanaman dalam jarak tertentu dan menjadikan penanaman lebih mudah.

“Saya berharap lebih banyak program yang melibatkan pelajar Universiti Limkokwing akan diadakan pada masa akan datang,” katanya.

Bagi Latifa Ashraf Hassan Mohamed Abdulhamid Nafie dari Mesir pula berkata, terdapat banyak cara untuk menjadikan pembelajaran lebih menarik seperti aktiviti di luar kelas.

“Bagi saya, aktiviti seperti ini sangat menyeronokkan. Selain berpeluang untuk melawat kawasan ini, saya juga berpeluang mempelajari tentang spesies pokok dan alam sekitar,” katanya.

Lucia Alejandra Martinez Vega dari Mexico berkata, hampir semua negara sedang menghadapi masalah yang sama, di mana, hutan diterokai secara haram dan alam sekitar yang indah ini kini hancur akibat kekurangan disiplin untuk menjaga alam sekitar.

“Dengan adanya program sedemikian, saya berharap kawasan hijau seperti ini akan kekal di masa hadapan,” katanya.

SASET turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Majlis Belia Negeri Pahang bagi menjalinkan persefahaman mengenai pemeliharaan dan pemulihan alam sekitar.

Hadir sama, Tengku Aidy Ahmad Shah Tengku Kamil Ismail, Timbalan Pengarah Perhutanan Negeri Pahang Datuk Samsu Anuar Nawi, Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Datuk Mohd. Nor, Penolong Pegawai Pembangunan Daerah Mohd. Zaidi Awang, Pengarah Operasi SASET Datuk Aida Jusuf, Pengurus Kemajuan Manusia & Komuniti SASET Datuk Azmi Ahmad dan Presiden Majlis Belia Malaysia Jufitri Joha.