Malaysia Dateline

150,000 komputer entah ke mana, sekarang janji telefon pintar pula

Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Shazni Munir Mohd Ithnin mempersoalkan keberadaan 150,000 komputer riba yang dijanjikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam pembentangan Belanjawan 2021 sebelum ini.

Menerusi ciapannya di Twitter, Shazni bertanya sama ada subsidi RM300 untuk pembelian telefon pintar yang baru sahaja diumumkan baru-baru ini, akan dikira sebagai ganti untuk menghapuskan janji pemberian komputer riba berkenaan.

“RM300 untuk beli telefon pintar yang katanya ‘insya-Allah’ akan dapat pada bulan Mei ini, kira dah boleh hapus janji nak bagi laptop ke macam mana?

“Apa dah jadi dengan pemberian 150,000 laptop tu? syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) mana yang terlibat?

“Waktu bagi harapan pada rakyat tu memang dah lulus atau masih berbincang? Kalau dah lulus, laptopnya mana?,” soal Shazni yang juga Ketua Pemuda AMANAH Nasional itu.

Sebelum ini kerajaan dalam pembentangan Belanjawan 2021 telah memperuntukkan sehingga 150,000 komputer riba kepada pelajar dan murid-murid di 500 buah sekolah rintis bagi memudahkan sesi Pembelajaran dan Pengajaran di rumah (PdPR).

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz memberi jaminan bahawa pemberian komputer riba akan diagihkan bermula Januari tahun ini.

Namun, hampir memasuki bulan April, status komputer riba percuma itu masih tidak diketahui dengan ramai pihak mula mendesak kerajaan memberitahu perkembangan peruntukan yang telah dijanjikan.

Dua hari lalu pula, kerajaan mengumumkan menambah subsidi pembelian telefon pintar atau peranti baharu daripada RM180 dalam Belanjawan 2021 kepada RM300 di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan memperuntukan sehingga RM2 bilion untul program ini dan akan dilancarkan pada awal Mei nanti.

Justeru itu, Shazni bertanya bagaimana kerajaan boleh menjamin dana sebesar itu akan sampai kepada kelompok sasar.