Malaysia Dateline

150,000 laptop belum edar, kini janji 500,000 peluang pekerjaan

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng tertanya-tanya sekiranya pengumuman kerajaan untuk menyediakan sehingga 500,000 peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia, hanyalah cakap kosong semata-mata.

Beliau berkata, pengumuman Kementerian Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz itu menimbulkan banyak persoalan kerana beliau sendiri masih belum menunaikan janji untuk mengedarkan 150,000 komputer riba kepada murid sekolah.

Beliau, menuntut Zafrul untuk menjawab tiga persoalan berhubung pengumumannya itu terutama jenis pekerjaan yang akan ditawarkan kepada orang ramai menerusi skim yang dirancang.

“Pengumuman Zafrul berkenaan peluang pekerjaan tidak diikuti dengan maklumat yang logik.

“500,000 adalah satu angka raksasa dan bagaimana peluang pekerjaan tersebut akan diperolehi kerajaan memandangkan banyak perusahaan dan perniagaan terkesan dan terpaksa ditutup akibat pandemik Covid-19?

“Soalan ketiga, bilakah angka penuh berkaitan peluang pekerjaan tersebut akan dicapai untuk pengetahuan umum?,” soalnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sementara itu, Lim mempersoalkan sama ada kerajaan juga akan mewujudkan peluang pekerjaan bagi mereka yang tidak mempunyai taraf pendidikan yang tinggi.

Beliau turut menekankan bahawa 500,000 peluang pekerjaan bukanlah angka yang kecil dan sehingga kini masih ramai lagi rakyat yang bergelut mencari pekerjaan sesuai untuk mereka.

“Usahkan 500,000, sekiranya Zafrul boleh mewujudkan 500 peluang pekerjaan yang jelas jenisnya dan jelas proses pencariannya sebelum tempoh darurat berakhir untuk warga Kepong yang mencari kerja, pihak saya dengan besar hatinya akan mencari calon-calon yang sesuai untuk kerja-kerja yang ditawarkan.

“Memandangkan Parlimen juga masih belum dibenarkan bersidang, terpaksalah rakyat yang hilang kerja sejak penularan Covid-19 bertanya Menteri Kewangan melalui platform seperti media perdana dan secara maya,” katanya.