Malaysia Dateline

150,000 laptop masih tak diagihkan, sekolah pula dibuka

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching mengkritik keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menetapkan pembukaan sesi persekolahan secara berperingkat akan dilakukan bermula 1 Mac ini.

Bekas Timbalan Menteri Pendidikan itu berkata, sehingga akhir bulan Februari, kerajaan masih belum mengagihkan sejumlah 150,000 komputer riba yang dijanjikan sehingga guru dan pelajar sengsara kerana sikap kerajaan yang tidak konsisten.

Malah katanya, dalam keadaan negara masih mencatatkan angka Covid-19 yang tinggi, kerajaan pula mengumumkan untuk membuka semula sekolah selepas guru-guru bertungkus lumus menyediakan bahan pembelajaran atas talian.

“Ketika Menteri Pendidikan membuat pengumuman untuk menutup semua sekolah mulai 9 November 2020, negara mencatatkan 852 kes baru yang dan jumlah kes aktif adalah 11,689.

“Kes Covid-19 ketika ini pula tiga kali lebih teruk daripada keadaan pada November. Namun, KPM telah membuat keputusan untuk membuka semula sekolah.

“Adakah KPM bersedia untuk mengakui bahawa keputusan mereka untuk menutup sekolah di seluruh negara pada 8 November tahun lalu adalah cadangan yang buruk?,” katanya dalam satu kenyataan.

Wakil rakyat DAP itu turut membangkitkan isu tentang Manual Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah 2.0 (PdPR 2.0) yang diumumkan kerajaan pada 2 Februari.

Menurutnya, guru bekerja tanpa henti untuk menyiapkan jadual waktu baru dan modul yang perlu dihantar mulai minggu ini selain terpaksa menghabiskan berjam-jam dan kos untuk menyiapkan bahan untuk dihantar kepada pelajar.

“Sekarang guru-guru terpaksa menerima pengumuman mendadak Menteri Pendidikan. Pada dasarnya ini bermaksud bahawa jadual waktu baru dan semua persiapan yang membosankan oleh guru hanya akan digunakan selama satuminggu.

“Perancangan yang tidak tersusun dari kementerian menyebabkan guru, ibu bapa dan pelajar menderita,” katanya lagi.