Malaysia Dateline

1,575 kes baru, hanya 3 kes kematian hari ini

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan sebanyak 1,575 kes baru pada hari ini menjadikan kumulatif kes positif COVID-19 setakat ini sebanyak 320,939 kes manakala sebanyak 17,074 kes adalah kes aktif.

Tujuh kes import yang membabitkan seorang warganegara dan enam bukan warganegara dan 1,568 kes adalah membabitkan kes tempatan.

147 pesakit memerlukan rawatan di ICU di mana 67 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Hanya tiga kes kematian dilaporkan pada hari ini menjadikan kumulatif kes kematian seramai 1,203 orang sehingga kini.

Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan masing-masing satu kes di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dan Sabah. Sebanyak dua kes melibatkan warganegara dan satu kes bukan warganegara.

Kes sembuh pula sebanyak 2,042 kes menjadikan jumlah terkumpul kes sembuh sebanyak 302,662 kes.

Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 751 kes (47.7 peratus).

Daripada jumlah ini, sebanyak 694 kes (92.4 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

Ini diikuti oleh Sarawak sebanyak 173 kes (11.0 peratus) dan Johor sebanyak 135 kes (8.6 peratus).