158 lagi rakyat Malaysia masih terkandas di Turki

158 lagi rakyat Malaysia masih terkandas di Turki

Sejak dari insiden cubaan rampasan kuasa oleh elemen-elemen tentera Turki yang berlaku pada Jumaat malam, 15 Julai 2016 yang lalu, Kementerian Luar Negeri kini mengesahkan bahawa keadaan di Turki telah semakin reda dan terkawal. Operasi di semua lapangan terbang utama Turki juga dilaporkan telah pulih sepenuhnya.

Pasukan Khas yang terdiri dari pegawai-pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Ankara, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Tourism Malaysia, dibantu oleh Konsul Kehormat Malaysia di Istanbul, telah digerakkan/ditempatkan di semua lapangan terbang utama Turki bagi membantu rakyat Malaysia yang transit/terkandas/perlu meneruskan perjalanan mereka ke destinasi seterusnya.

Sumber dari Kementerian Luar Negeri menyebut hasil dari usahasama tersebut, seramai 32 orang rakyat Malaysia telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pagi ini, 17 Julai 2016 semalam.

Selanjutnya, seramai 31 orang rakyat Malaysia yang terkandas di Lapangan Terbang Ataturk, Istanbul dijangka akan berlepas ke destinasi masing-masing pada hari ini, Ahad, 17 Julai 2016. Baki seramai 158 orang rakyat Malaysia dilaporkan masih terkandas di Lapangan Terbang Esenboga, Ankara dijangka dapat meneruskan perjalanan mereka ke destinasi seterusnya lewat hari ini atau esok.

Kementerian Luar Negeri akan terus memantau situasi semasa di Turki dan menghulurkan bantuan kepada rakyat Malaysia yang terlibat lanjutan dari insiden yang berlaku.