16  ahli Umno cawangan mahu RoS bubarkan Umno

16 ahli Umno cawangan mahu RoS bubarkan Umno

Seramai 16 ahli cawangan Umno memfailkan permohonan untuk kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur  hari ini untuk  membatalkan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang membenarkan Umno melanjutkan tempoh  mengadakan pemilihan parti di semua peringkat.

Pemohon yang berusia antara 30 hingga 55 tahun itu adalah  Salihudin Ahmad Khalid, Noor Halimi Yahya, Mariam Mohd Ishak, Mohd Hafami Hanif, Saharuddin Tukiman, Azaid Jani, Normalawati Hassan, Radiana Abd Manaf, Mohd Raafeek Rahim, Nurul Hanna Mohd Suhot, Kamarul Abd Wahid, Mohd Hikamal Md Hassim, Muzamzamir Abd Wahab, Norizam Jamaludin, Rohani Ahmad, dan Muhamad Hafizi Hashim.

Semua anggota Umno berkenaan diwakili oleh peguam Mohd Haniff Khatri Abdulla.

Mereka adalah daripada 11 cawangan di enam negeri dan menamakan RoS dan Setiausaha Kerja Umno, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai responden.

Menurut Mohd  Khatri  defenden memohon perintah mandamus untuk mewajibkan RoS untuk menggunakan Seksyen 13, 14, 16 dan 66 Akta Pertubuhan untuk menyiasat Umno berdasarkan surat-menyurat yang dihantar kepada RoS.

Selain itu, mereka juga memohon perintah mandamus untuk memaksa RoS mengambil tindakan serta-merta ke atas Rauf kerana didakwa melanggar Perkara 9.3, 9.4, 15.3, 18.2 dan 10.16 Perlembagaan Umno kerana tidak mengadakan pemilihan parti dalam tempoh 18 bulan yang ditetapkan.

Di samping itu, mereka juga memohon supaya Umno dibubarkan sementara sebaik sahaja RoS menyelesaikan siasatannya berhubung dakwaan melanggar perlembagaan parti.

Mereka juga memohon mahkamah mewajibkan RoS untuk mengeluarkan notis di bawah Seksyen 14 (2) dan 14 (5) di bawah Akta Pertubuhan bagi notis pembubaran sementara dan pembubaran muktamad.

Secara tambahan, pemohon juga mahu mahkamah memaksa RoS untuk menggantung semua aktiviti Umno sehingga kes permohonan semakan kehakiman selesai.

Pemohon juga mahu pengisytiharan bahawa semua bahagian Umno dan Majlis Tertinggi (MT) Umno tidak mempunyai kuasa yang sah dari segi undang-undang untuk beruruasan dan terbatal atau terbubar berkuatkuasa hari ini, 20 April 2018.

Mereka juga mahu perintah bahawa keseluruhan institusi atau pertubuhan yang dipanggil dan atau dikenali sebagai Umno adalah tidak sah dan terbabtal atau terbubar mulai hari ini juga.

Ini berikutan hujah mereka bahawa hari terakhir untuk bahagian-bahagian mengadakan pemilihan mereka adalah pada 28 Februari dan hari terakhir untuk Majlis Tertinggi  pada 19 April 2018.

Kali terakhir, bahagian-bahagian Umno mengadakan pemilihan mereka adalah pada 31 Ogos 2013 dan sepatutnya pemilihan baru seharusnya diadakan pada 31 Ogos 2016 tetapi diberikan lanjutan masa 18 bulan oleh RoS.

16

CATEGORIES
TAGS