16 barangan di bawah Skim Harga Maksimum sempena musim perayaan

16 barangan di bawah  Skim Harga Maksimum sempena musim perayaan
Chong melakukan lawatan di Pasar Raya Emart Batu Kawa di Kuching bagi memantau harga barangan.

Sebanyak 16 jenis barangan akan diletakkan di bawah Skim Harga Maksimum Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina 2020.

Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Chong Chieng Jen berkata, skim tersebut telah dikuatkuasakan di seluruh negara selama 14 hari bermula semalam hingga 2 Februari depan sebagai langkah untuk menyekat kenaikan harga barangan keperluan menjelang perayaan Tahun Baru Cina.

Jelasnya, semua barangan yang disenaraikan adalah barangan yang mendapat permintaan tinggi dan tahun ini kementeriannya menambah tiga lagi jenis barangan berbanding 13 tahun lepas iaitu cili merah, tomato dan ubi kentang China.

“Saya menyeru kepada peniaga untuk memberi kerjasama kepada pelaksanaan skim ini untuk manfaat kepada para pengguna,” katanya selepas lawatan pelaksanaan SHMMP Tahun Baru Cina 2020 di Pasar Raya Emart di Batu Kawa, Kuching semalam.

Chong berkata, berdasarkan kepada pengalaman tahun sebelum ini, pelaksanaan skim berkenaan telah menerima sambutan serta kerjasama yang baik daripada kalangan para peniaga.

“Semasa pemeriksaan yang dijalankan di seluruh negara, hanya 0.001 peratus peniaga melanggar peraturan yang melibatkan kesalahan gagal mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu,” ujar Chong.

Sementara itu, beliau menjelaskan, kementeriaan mempunyai kekuatan keanggotan seramai lebih 3,000 orang di seluruh negara yang akan turun padang memeriksa serta memantau harga barangan sepanjang pelaksanaan skim tersebut.

“Untuk makluman, 16 jenis barangan yang disenaraikan di bawah skim ini ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B dan C, kubis bulat import, cili merah, tomato, ubi kentang China, bawang putih China, ikan bawal putih, udang putih besar, khinzir hidup, daging khinzir (perut) dan daging khinzir (daging dan lemak).

Seterusnya, Chong turut mengingatkan peniaga supaya tidak menjual barangan harga terkawal terbabit melebihi harga maksimum serta mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum boleh didenda mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 bagi kesalahan individu.

Manakala kesalahan sama melibatkan syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000, tegasnya.

Tambahnya, kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal pula boleh didenda mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5000 bagi kesalahan individu dan denda sehingga RM20,000 atau kompaun sehingga RM10,000 bagi kesalahan syarikat.

Pengguna dalam pada itu, katanya boleh menyalurkan aduan kepada kementerian melalui portal [email protected] atau WhatsApp ke 019-2794317 atau hadir ke mana-mana 73 buah pejabat KPDNHEP di seluruh negara.

Turut hadir dalam lawatan itu ialah Pengarah KPDNHEP Sarawak, Datuk Stanley Tan dan Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Sarawak, Mohd Hanizam Kechek.