Malaysia Dateline

16 kes lagi varian Delta dikesan di Kuching

Sebanyak 16 lagi kes varian Delta (B.1 617.2) dikesan di Kuching setakat 4 Julai lalu seperti yang dimaklumkan Pengarah Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia, Professor Dr. David Parera.

Menerusi laporan terbarunya kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana(JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, beliau berkata, selain varian SARS-COV-2, pihaknya turut mengesan satu lagi kes baharu dari varian Beta (B.1.351) dikesan di Kuching bagi tempoh sama.

“Sebagai sebahagian dari pengawasan berterusan, saya ingin melaporkan yang setakat 4 Julai lalu terdapat tambahan 16 kes varian Delta telah dikesan di Kuching.

“Selain varian Delta, satu lagi kes baharu dari varian Beta (B.1.351) juga dikesan di Kuching bagi tempoh sama.

“Justeru, dengan penambahan terbaru ini, Sarawak kini mempunyai 17 kes varian Delta dan semuanya dikesan di Kuching,” jelas beliau dalam satu kenyataan.

Dr. David menegaskan kes pertama varian Delta dilaporkan pada 8 Julai lalu melibatkan seorang lelaki berusia 56 tahun.

“Bagi kes varian Beta pula, Sarawak kini telah merekodkan 35 kes yang dilaporkan di Kuching, tiga di Bau dan masing-masing satu di Lundu, Serian, Simunjan dan Sibu.

“Pada masa sama, kita telah mencatat tiga lagi kes import yang menjadikan jumlah keseluruhan untuk varian Beta ini adalah sebanyak 45 kes,” jelasnya lagi

Berkenaan varian Theta pula, Dr. David memberitahu tiada peningkatan jumlah kes dan seperti yang dilaporkan terdahulu dengan rekod telah dilaporkan enam kes dikesan di Kuching dan tujuh kes di Kota Samarahan.

Bagaimanapun, tambah beliau, bagi varian Eta tiada peningkatan kes dikesan dengan jumlah terkumpul sebanyak 76 melibatkan Varian Yang Membimbangkan (VOC) dan Varian Yang Perlu Mendapat Perhatian (VOI) dikesan di Sarawak setakat 4 Julai lalu.