Malaysia Dateline

16 kes ugut sebar gambar, video lucah termasuk warga emas setiap bulan di Selangor

Secara purata tidak kurang 16 kes jenayah ugutan menyebarkan video serta gambar lucah direkodkan di Selangor sepanjang 11 bulan pertama tahun ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat, berkata sebanyak 180 kes jenayah itu direkodkan dari Januari sehingga November dengan 110 kes daripadanya membabitkan individu tidak dikenali menghantar video untuk mengganggu mangsa.

Menurutnya, 42 kes iaitu 23 peratus daripada keseluruhan kes ugutan pula membabitkan kenalan mangsa seperti bekas suami atau bekas teman lelaki.

Baki 28 kes melibatkan mangsa diperdaya dengan sindiket iaitu mencari kenalan melalui laman sosial sehingga memperdaya mangsa untuk memberikan video aksi lucah.

Beliau memberitahu mangsa yang terpedaya terdiri daripada lelaki atau wanita di usia remaja, dewasa malah warga emas tanpa mengira kaum.

Fadzil berkata, aplikasi digunakan sindiket terbabit termasuk WeChat, Facebook, Michat, Line dan WhatsApp selain laman web seperti Locanto.asia serta GODATE2NIGHT.

Dedahnya, sindiket terbabit membuat ugutan terhadap mangsa dengan meminta wang di antara RM10,000 hingga RM20,000.

Sekiranya mangsa gagal membuat bayaran itu, jelasnya, sindiket itu akan menyebarkan gambar bogel mangsa di media sosial selain kepada ahli keluarga dan rakan.

“Mereka (mangsa lelaki dan wanita pelbagai lapisan usia) sanggup berkongsi gambar diri mereka dalam aksi berbogel atau lucah dengan suspek.

“Selepas berbual mesra di laman sosial, mangsa yang berkongsi aksi seksi dan lucah ini akhirnya terperangkap dalam jenayah pemerasan membabitkan kerugian ribuan ringgit.

“Mangsa akhirnya akan diugut rakan maya mereka. Jika tidak membayar sejumlah wang diminta maka gambar atau video ditangkap ditangkap layar oleh suspek akan disebarkan.

“Oleh kerana takut dimalukan, maka mangsa akan membayar wang seperti diminta melalui nombor akaun diberikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, mangsa akan diperdaya sehingga sanggup berbogel dan mengikut arahan diberikan oleh sindiket.

“Sindiket kemudian akan merekod video serta gambar lucah mangsa supaya mereka boleh memeras ugut mangsa untuk menyebarkan video serta gambar itu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat supaya tidak mudah terpedaya dengan penipuan terbabit.

Orang ramai juga, tegasnya, perlu lebih bijak menggunakan media sosial kerana aksi yang dilakukan secara langsung di media sosial amat mudah dirakam dan disimpan oleh pihak kedua.

“Janganlah mempercayai sesiapa saja yang baru dikenali di media sosial kerana ramai menjadi mangsa kepada kumpulan ‘scammer’ ini,” kata Fadzil lagi.