Malaysia Dateline

16 laporan polis dibuat terhadap Nik Zawawi di Sarawak

Polis Sarawak telah menerima sebanyak 16 laporan di seluruh negeri ini ekoran kenyataan Ahli Parlimen Pasir Puteh Datuk Dr Nik Mohammad Zawawi yang menyentuh kitab injil semasa Sidang Parlimen 26 Ogos lalu.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Denis Leong, 16 laporan yang diterima itu adalah daripada pelbagai pihak termasuk beberapa persatuan di kalangan penganut agama Kristian berhubung ketidakpuasan hati terhadap kenyataan Nik Mohammad Zawawi.

Katanya, polis akan menjalankan siasatan ke atas semua laporan itu memamdangkan siasatan masih lagi belum lengkap sepenuhnya dan perlu mengambil beberapa tindakan lagi.

“Setelah siasatan dilengkapkan, maka akan dirujuk segera kepada Pendakwa Raya untuk arahan seterusnya,” ujar beliau dalam satu kenyataan di Kuching.

Sehubungan itu, beliau berharap supaya orang ramai bertenang dan tidak mengambil tindakan yang menyalahi undang-undang.

“Saya turut menasihatkan agar orang ramai berhati-hati mengeluarkan kenyataan sama ada secara lisan atau melalui medium media sosial kerana polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan menurut undang-undang agar keselamatan serta ketenteraman awam terjaga di negara ini,” tegasnya.

Sebelum ini, pada kelmarin lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah tampil membuat laporan polis di Balai Polis Kota Sentosa bagi mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap Ahli Parlimen terbabit.

Lima NGO itu ialah Persatuan Adat Asal Bidoyoh, Persatuan Dayak Iban Sarawak (SADIA), Pertubuhan YATT Sarawak, Persatuan Aspirasi Rakyat Sarawak (SAPA) dan Dayak Bukit Kelingkang.

Malah, Pergerakan untuk Perubahan Sarawak (MoCS) turut membuat laporan polis berhubung isu berkenaan pada Khamis lepas.