Jumlah kematian akibat positif Covid-19 pada hari ini adalah yang tertinggi iaitu sebanyak 16 kes kematian.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pertambahan kes kematian menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 537 kes (0.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
KKM dalam kenyataannya berkata, peningkatan kes-kes kematian pada hari ini adalah berikutan terdapat kes-kes yang memerlukan tempoh masa tertentu untuk siasatan lebih lanjut dijalankan sebelum kematian tersebut disahkan adalah disebabkan oleh COVID-19.
Untuk kes harian baharu, sebanyak 2,643 kes telah dilaporkan menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 131,108 kes.
Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 25,140 kes.
Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 2,641 kes.
Bagi kes penularan di dalam negara, 1,666 kes adalah warganegara Malaysia (63 peratus) dan 975 kes adalah bukan warganegara.
Sehingga kini, terdapat 170 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 82 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Negeri Selangor terus melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,086 kes (41.1 peratus).
Daripada jumlah ini, sebanyak 904 kes (83.2 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.
Ini diikuti oleh Sabah sebanyak 401 kes (15.2 peratus) dan Johor sebanyak 298 kes (11.3 peratus).