16 Mei: Hari Cahaya Antarabangsa dalam kesempatan Ramadhan

16 Mei: Hari Cahaya Antarabangsa dalam kesempatan Ramadhan

Bersempena dengan tanggal 16 Mei yang merupakan Hari Cahaya Antarabangsa (The International Day of Light), menjadi satu refleksi kepada kita tentang bagaimana cahaya menjadi satu sumber yang terpenting dalam kehidupan.

Tarikh ini telah dipilih bersempena dengan ulang tahun pertama operasi laser yang berjaya pada tahun 1960 oleh ahli fizik dan jurutera, Theodore Maiman. Laser adalah contoh sempurna tentang bagaimana penemuan saintifik terhadap cahaya boleh menghasilkan manfaat kepada masyarakat dalam komunikasi, penjagaan kesihatan serta pelbagai yang lain lagi.

Dalam konteks perbincangan cahaya, nyata dilihat cahaya menjadi sumber terpenting dalam kehidupan. Daripada ketika Isaac Newton menemukan konsep pembiasan cahaya melalui prisma, yang menghasilkan spektrum warna yang seterusnya menjelaskan konsep pelangi di langit sehinggalah kepada Thomas Edison yang memberi sumbangan terbesar dalam penciptaan mentol lampu elektrik yang mengeluarkan cahaya dikala kegelapan di bumi, telah memperlihatkan keperluan kita kepada cahaya yang terang dalam melaksanakan tuntutan kehidupan.

Jika kita mampu melihat dan menggarap fungsi cahaya secara zahir, apakah kita sudah mampu sedar fungsi cahaya secara nisbi kepada hidup kita yang lebih lagi perlu untuk kita maknai? Kerana hakikatnya, keperluan kepada cahaya wujud dalam setiap sisi kehidupan kita, bukan sekadar pada mata zahir, tetapi mata hati dan nurani manusia.

Nisbah pencahayaan kehidupan

Kegelapan hati merupakan fenomena yang sangat di risaukan kerana jika tatkala itu kesedaran belum juga kunjung tiba, keseronokan dalam kejahilan makin terasa dan akan mematikan hati dari terus mengingati Pencipta.

Perlu untuk kita semak kembali situasi semasa zaman jahiliah dahulu, sebelum datangnya syariat dan aturan sistem kehidupan yang dibawa oleh Rasulullah, pelbagai jenis bentuk kehidupan yang penuh dengan kezaliman dan penindasan. Samada penindasan terhadap diri sendiri atau terhadap entiti dari luar (masyarakat dan alam). Hakikat kehidupan pada ketika itu, dilihat jauh dari sebuah hakikat kehidupan manusiawi yang disinari cahaya iman.

Allah jelas menyatakan dalam Surah An-Nisa ayat 174, “Wahai manusia! Sesungguhnya telah sampai kepadamu bukti kebenaran dari Tuhanmu, (Muhammad dengan mukjizatnya) dan telah Kami turunkan kepadamu cahaya yang terang benderang (Al-Quran)”.

Apabila Rasulullah hadir membawa perutusan Al-quran, dapat kita lihat bahawa dengan kerasulan dan mukjizatnya seolah menjadi penyuluh kepada sebuah kehidupan yang dahulunya gelap, seolah tiada nikmat keharmonian dalam kehidupan kepada sebuah kehidupan yang penuh dengan cahaya pengharapan dan kebahagiaan. Kehidupan yang diterangi oleh atur cara kehidupan yang diredhai dan dirahmati.

Apabila telah selesai penurunan Al-Quran, dan apabila telah sempurna sebarannya kepada sekalian makhluk termasuklah kita sendiri, menjadi tugas kita pula untuk mendampingi Al-Quran.

Sentiasa hidup dengan Al-Quran, menjadikan Al-Quran sebuah rujukan kepda setiap permasalahan kehidupan. Kerana realitinya kita amat memerlukan cahaya Al-Quran sebagai penerang hati dan penyuluh jalan kehidupan.
Bagaimana?

Dua perlatihan dalam Ramadhan

Kita perlu mula dengan menjadi pencinta Al-Quran. Nikmat waktu sehari-hari kita tidak boleh untuk di hiasi dengan hanya nikmat kepuasan duniawi semata-mata. Peruntukan masa untuk menguzlahkan diri dengan Al-Quran.

Analoginya seperti bagaimana setelah gelap kita akan menghidupkan lampu bagi menerangi hari malam, begitu juga apabila setelah seharian, nyalakan cahaya dalam hati dan diri dengan masa bersama Al-Quran.

Yang kedua, kita perlu untuk memujuk diri dengan Al-Quran. Ujian yang hadir sehari-hari membuatkan kita meronta-ronta untuk diceritakan dan diluahkan kepada makhluk. Sehingga pada satu saat, kita putu asa untuk bercerita dan hanya memendam dan membebani mengikut timbangan akal manusia biasa.

Urusan dunia sebaliknya merupakan jentikan kepada kita untuk dekat dengan Al-Quran. Tatkala ujian tiba, buka Al-Quran. Buka dengan sepenuh keyakinan bahawa Al-Quran itu sebuah teman ketenangan. Tatkala bahagia, buka jua Al-Quran. Buka dengan sepenuh keyakinan bahawa Al-Quran itu sebuah teman penasihat yang tidak dusta.

Ramadhan yang merupakan bulan Al-Quran, merupakan bulan terbaik untuk kita mengisi diri dan kehidupan dengan cahaya Al-Quran. Cahaya yang tidak akan pernah pudar malah terus menjadi penerang dari tersesat di jalan kejahilan.

Pada bulan Ramadhan ini, merupakan peluang terbaik untuk terus kita persiapkan diri dengan pegangan dan pemahaman yang jitu terhadap apa yang dibawa oleh Nabi kita Muhammad S.A.W. Kerana pendasaran kepada sebuah matlamat kehidupan adalah dengan panduan cahaya dunia yang menjadi penyuluh jalan ke syurga, iaitu Al-Quran.

*Penulis adalah  Mahasiswa Universiti Malaya, Sarjana Muda Pengajian Islam Dan Sains