Malaysia Dateline

16 tuntutan komuniti OKU perlu kerajaan beri tumpuan

Kerajaan diharap dapat melipatgandakan usaha dalam memperkasakan komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) bagi merealisasikan komitmen Keluarga Malaysia.

Ahli Dewan Negara mewakili orang kurang upaya (OKU) Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata, hanya 580,633 OKU telah mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga 30 Jun lalu.

Walau bagaimanapun, katanya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan seramai 15 peratus populasi sesebuah negara adalah OKU.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan terutama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mempercepatkan proses pendaftaran OKU yang masih belum berdaftar.

Beliau yakin 16 perkara berkaitan kebajikan OKU di negara ini yang dituntutnya mampu dilaksanakan dalam tempoh 100 hari jika kesemua kementerian berkaitan mempunyai kesungguhan dalam memperkasakan komuniti OKU.

“Ini adalah sebahagian tanggungjawab kerajaan bagi memastikan OKU tidak ketinggalan arus pembangunan negara.

“Komitmen untuk merealisasikan hak OKU bukan hanya soal keadilan, malah ia adalah pelaburan untuk masa depan bersama.

“Hak dan martabat golongan OKU perlu dan tetap dijadikan salah satu agenda teras untuk diperkasakan agar kemakmuran bumi bertuah ini dapat dimanfaat dan dikongsi bersama,” katanya dalam satu kenyataan.

Selaras dengan Indeks Prestasi Utama (KPI) 100 hari pertama yang ditetapkan Perdana Menteri bagi setiap kementerian, Ras Adiba menyenaraikan 16 perkara untuk KPWKM laksanakan:

1. Segerakan pindaan Akta OKU 2008 dengan memasukkan elemen penguatkuasaan.

2. Merealisasikan penaiktarafan Jabatan Pembangunan OKU sebagai satu jabatan penuh.

3. Penubuhan Yayasan Pembangunan OKU Malaysia.

4. Meluaskan kategori OKU kepada penyakit jarang jumpa dan albino.

5. Melancarkan Skuad Prihatin OKU bagi mengenalpasti OKU yang belum berdaftar.

6. Memulakan usaha penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Marrakesh.

7. Menyediakan peruntukan bagi melatih jurubahasa isyarat bagi membantu komuniti OKU Pendengaran.

8. Menyediakan peruntukan khas dan penubuhan Tabung Amanah Penyakit Jarang Jumpa menerusi Belanjawan 2022.

9. Mewujudkan Unit Kaunselor Genetik di bawah KKM bagi membantu komuniti penyakit jarang jumpa.

10. Membentangkan penilaian Pelan Tindakan Orang Kurang Upaya (OKU) yang tamat tahun hadapan serta memulakan proses untuk penyediaan Pelan Tindakan OKU 2023-2030, yang lebih fokus.

11. Memulakan usaha mewujudkan Dasar Penyakit Jarang Jumpa.

12. Memperkenalkan insuran khas untuk komuniti OKU di Malaysia.

13. Menyediakan bantuan sewa premis kepada OKU yang terjejas akibat pandemik.

14. Menyalurkan geran khas kepada NGO untuk membantu mereka di lapangan terutama di kawasan pedalaman dan luar bandar.

15. Memperbaiki polisi dan dasar pendidikan murid berkeperluan khas.

16. Menambah kuota Ahli Dewan Negara Wakil OKU kepada dua orang.