Malaysia Dateline

163,000 pengguna VSP di KL bantu banteras jenayah – Ketua Polis KL

Seramai 163,000 pengguna telefon pintar mendaftar dalam aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) di Kuala Lumpur setakat ini sebagai langkah membantu polis membanteras jenayah.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata selaras dengan perkembangan teknologi terkini, pengguna dapat menyalurkan maklumat dengan lebih cepat terus kepada polis melalui aplikasi ini.

“Ini secara tidak langsung memudahkan anggota untuk melakukan tugas serta ke lokasi kejadian dalam menyelamatkan nyawa atau harta benda…‘response time’ amat penting,” katanya kepada pemberita selepas Program Kepolisan Berprofil Tinggi (High Profil Policing) di sini, hari ini.

Mazlan berkata identiti pemberi maklumat sama ada melalui aplikasi VSP atau secara terus kepada pihak polis akan dilindungi sebagai langkah keselamatan.

VSP dilancarkan pada Mac 2017 dan aplikasi ini boleh dimuat naik secara percuma di Playstore untuk telefon pintar Android dan Appstore untuk Iphone.

— BERNAMA