16,700 akaun pengguna terjejas bekalan air di Tanah Merah

16,700 akaun pengguna terjejas bekalan air di Tanah Merah

Kira-kira 16,700 akaun pengguna bekalan air di Tanah Merah bakal terjejas berikutan paip rosak akibat tanah mendap di Loji Rawatan Air Bukit Remah.

Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dalam satu kenyataan menyatakan gangguan bekalan air itu akan berterusan sehingga 6 Disember ini bagi kerja-kerja baikpulih.

“Kejadian paip rosak itu berlaku semalam berikutan mendapan tanah di kawasan paip terbabit dan kerja-kerja pembaikan segera dilakukan, namun di sebabkan kedudukan paip yang agak dalam serta berlaku pergerakan pada tanah di lereng bukit menyebabkan kestabilan paip menjadi tidak stabil dan berisiko untuk bocor semula.

“Atas faktor itu, AKSB mengambil alternatif melakukan penggantian paip ‘mild steel’ bersaiz 700mm sepanjang 65 meter dengan kadar segera oleh kontraktor yang dilantik oleh pihak kami,” menurut kenyataan itu.– BERNAMA