17,000 murid tercicir datang dari keluarga miskin

17,000 murid tercicir datang dari keluarga miskin

Seramai 17,000 murid tercicir dengan majoritinya datang daripada keluarga berpendapatan rendah, dedah wakil Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Tricia Yeoh.

Beliau berkata, jurang pendidikan di negara ini masih ketara dan berkaitan dengan faktor ekonomi sekaligus mengundang masalah besar buat jangka panjang.

“Ada keluarga tak dapat apa-apa bantuan. Ini masalah besar. Bantuan yang dikeluarkan Kementerian Pelajaran tidak sampai kepada golongan sasaran.

“Walaupun yuran sekolah percuma ada banyak kelengkapan lain perlu dibeli seperti pakaian dan beg yang sudah tentu membebankan keluarga miskin,” ujar Tricia lagi dalam forum malam tadi di Petaling Jaya.

Kikis material

Sementara itu, guru sukarela Buku Jalanan Chow Kit, Siti Rahayu Baharin berpendapat sikap mementingkan material mesti dikikis daripada terus memberi tekanan berlebihan kepada murid.

“Ibu bapa sudah bina sifat material ini. Tanyakan diri kita bagaimana anak dicorakkan? Kita selalu bercakap benda besar-besar tapi benda kecil, bagaimana? Sistem pendidikan kita belum mampu buang kitaran material ini. Semua mahu masuk aliran sains, jadi doktor, jadi jurutera.

“Kita terlampau nak hantar anak ke tuisyen. Padahal, lapan jam di sekolah, apa yang dia belajar? Ini bermakna ada kelemahan di sekolah. Saya tak salahkan guru. Mereka pun terikat dengan pelbagai KPI. Guru tidak dapat bersuara,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menekankan pentingnya sistem pendidikan kita menyemai nilai kepercayaan dan membuka lebih banyak ruang untuk bersama murid.

“Kita hanya ada jasad saja tiada elemen jiwa. Kebanyakan anak-anak murid hari ini tiada jiwa. Sistem pendidikan kita tidak dicorak mengikut budaya kita. Tanya semula, kenapa kita belajar?

“Jangan paksa murid. Sekarang kegilaan sekolah mahu memastikan murid semua mendapat A+. Padahal, kita semua hanya manusia biasa. Ada batas boleh, ada yang tidak mampu,” tambah Siti Rahayu lagi.

   Siti Rahayu dan Tricia Yeoh bersama panelis dan moderator pada forum malam tadi di Petaling Jaya.

TAGS