Malaysia Dateline

17 individu ditahan terbabit dadah, judi, kata KPN

Seramai 16 daripada 17 individu ditahan dalam serbuan polis di   sebuah kondominium dekat Puchong  awal pagi tadi atas kesalahan dadah dan perjudian.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, serbuan dilakukan  atas maklumat mengenai kegiatan penyalahgunaan dadah dan  aktiviti perjudian secara terbuka.

Beliau berkata, susulan tangkapan yang dibuat, enam daripadanya adalah wanita. Saringan awal kencing mendapati 16 daripada mereka positif dadah manakala seorang lagi negatif.

“Hasil ujian saringan awal yang dilakukan, pihak polis mendapati 16 daripada 17 individu terlibat didapati positif dadah.

“Namun saya tidak akan mendedahkan nama individu yang terlibat sebab proses siasatan masih dijalankan iaitu proses untuk saringan kali kedua.

“Kita akan menunggu hasilnya dan apabila kita dapati positif, kita akan ambil tindakan untuk mendakwa mereka di mahkamah,” katanya dalam sidang media berkenaan tangkapan dalam serbuan sekitar jam 4.40 pagi pada Ahad.

Sementara itu, beliau berkata, melalui pemeriksaan dijalankan dalam kondominium berkenaan, pihak polis turut menemui satu paket plastik lut sinar yang disyaki serbuk dadah jenis Katamine seberat lebih kurang 0.5g, dengan satu piring kaca berisi serbuk disyaki dadah jenis sama.

“Pihak polis turut menjumpai sebatang rokok berisi ceraian daun kering disyaki dadah jenis ganja,” katanya.

Terdahulu, Adhif Syan menafikan penangkapan ke atas dirinya yang mendakwa ia adalah fitnah ke atas dirinya

Namun begitu, Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari, mengesahkan penangkapan tersebut yang dimaklumkan kepadanya oleh pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) apabila beliau menghubungi mereka.

Pada masa sama, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula difahamkan bertindak menggantung tugas pegawainya yang ditahan polis selepas disyaki positif dadah, awal pagi hari ini.

Manakala Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya , dalam laporan media berkata, akan menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk siasatan terhadap ahli parti itu yang ditahan polis.