17 keputusan dibuat jemaah menteri kabinet PH hari ini

17 keputusan dibuat jemaah menteri kabinet PH hari ini

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad telah mengumumkan 17 keputusan jemaah menteri yang dicapai dalam mesyuarat mingguan kabinet kali ke-tiga diadakan hari ini.

Dalam sidang media diadakan di Putrajaya, Dr Mahathir memberitahu baki menteri kabinet bagi kementerian yang akan dibentuk diumumkan minggu hadapan.

Berikut antara keputusan penuh Jemaah Menteri yang diumumkan oleh Dr Mahathir hari ini:

1. Gabenor Bank Negara, Muhammad Ibrahim menyerahkan surat letak jawatan. Kerajaan belum memutuskan penggantinya kerana perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

2. Beberapa badan di bawah Kementerian Kesihatan akan dimansuhkan sebagai langkah jimat cermat kerajaan. Jemaah Menteri juga membincangkan pertindihan bidang kuasa antara kementerian susulan penyusunan semula kementerian.

3. Kerajaan setuju memberi insentif Hari Raya Aidilfitri kepada peneroka Felda dan Felcra sebanyak RM450. Kos bantuan peneroka Felda ditanggung kerajaan berjumlah RM50 juta, untuk peneroka Felcra bantuan diambil daripada keuntungan Felcra bernilai RM44 juta.

4. Parlimen akan bersidang pada 16 Julai, menggabungkan dua sesi selama 20 hari. Sidang akan dimulakan dengan angkat sumpah ahli Parlimen, pemilihan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara, dan seterusnya titah ucapan diraja oleh Yang di-Pertuan Agong.

Kerajaan akan mengemukakan beberapa rang undang-undang antara memansuhkan Akta Anti Berita Tidak Benar dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), serta memperkenalkan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

5. Pegawai kanan kerajaan akan diwajibkan mengambil ujian kecekapan Bahasa Inggeris untuk mempertingkatkan penguasaan bahasa penting yang akan melancarkan tugas mereka.

6. Kerajaan akan menghantar pasukan pegawai untuk lawatan sambil belajar ke India, mengkaji idea inovatif untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam.

7. Bantuan Sara Hidup (BSH), bantuan kewangan oleh kerajaan yang sebelum ini dikenali sebagai BR1M, akan dibayar mengikut kelayakan sedia ada sementara syarat kelayakan itu dikaji semula.

8. Semua ahli Parlimen akan dapat peruntukan untuk pusat khidmat untuk disalurkan sebelum Hari Raya Aidilfitri. Ahli Parlimen kerajaan mendapat RM500,000 sementara ahli parlimen pembangkang menerima 20% daripadanya atau RM100,000.

9. Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan ke China untuk berbincang dengan pihak berkenaan berhubung skandal kewangan melibatkan kontraktor dari republik itu yang mendapat bayaran penuh walaupun kerja baru sedikit saja siap.

Kerajaan juga akan mengkaji semula kaedah bayaran mengikut masa yang dibuat oleh Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER), anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan, yang ditubuhkan semasa pentadbiran Najib Razak.

10. Bagi mengubah mentaliti habuan, kerajaan akan berusaha menjelaskan kepada rakyat yang wang tunai diberi secara langsung kepada mereka adalah satu bentuk rasuah dan ia perlu dihentikan.

11. Kerajaan juga akan mengkaji inisiatif dan menawarkan latihan bagi menggalakkan perniagaan tempatan mengguna pakai mekanisma sesuai untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan mereka. Ini termasuklah kajian untuk meningkatkan penglibatan perniagaan dalam talian kepada industri kecil dan sederhana (SME).

12. Bekas ketua audit negara Amrin Buang akan dilantik sebagai ketua jawatankuasa siasatan khas untuk meningkatkan kaedah perolehan dan prosedur pentadbiran kerajaan. Amrin akan memulakan tugas itu di kementerian pertama jawatankuasa siasatan, Kementerian Pertahanan.

13. Jawatankuasa khas akan diminta menyemak dan menambah baik kurikulum pendidikan daripada tadika sehingga universiti.

14. Kementerian Hal Ehwal Pengguna akan mengenakan kawalan harga kepada barangan bermula 8 Jun hingga 22 Jun.

15. Peguam Negara baru dilantik Tommy Thomas akan mengkaji isu bagi tindakan perundangan berkaitan nahas MH17.

16. Kementerian Kesihatan akan mengkaji pengenalan skim kesihatan untuk kumpulan berpendapatan rendah.

17. Pegawai kerajaan Jusa A akan dipotong elaun sebanyak 10 peratus.