17 NGO sepakat kutuk serangan bom di Sri Lanka

17 NGO sepakat kutuk serangan bom di Sri Lanka
Mohd Azmi(lima dari kiri)bersama-sama dengan pemimpin NGO yang lain pada sidang media yang diadakan di pejabat Mapim..

Sebanyak 17 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antara agama sepakat mengutuk serangan bom yang berlaku di Sri Lanka baru-baru ini.

Wakilnya yang juga merupakan Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, bagi pihak rakyat negaa ini yang terdiri dari semua kaum dan juga agama mengutuk sekeras-kerasnya serangan pengganas barbarik tersebut terhadap gereja dan hotel di Sri Lanka.

“Kami mengungkapkan simpati dan ucapan takziah kepada ahli keluarga mereka yang terkorban dalam perbuatan ganas tersebut.

“Kami turut bersolidariti dengan mangsa serangan dan menegakan penolakan keras terhadap sebarang perbuatan ganas atas nama agama.

“Keganasan tidak mewakili mana-mana agama dan mesti ditolak, ” ujarnya lagi.

Malah katanya, punca serangan ganas tersebut perlu disiasat sehinggalah merangkumi akar dan sumber keganasan.

Tegasnya lagi, ia perlu dikenal pasti bagi mengetahui mengapa insiden ini berlaku.

“Analisis yang mendalam terhadap kejadian berulang serangan sedemikian di seluruh dunia juga perlu dilakukan.

“Bagaimana pun, kami menggesa pelaku keganasan tersebut dihukum dengan setegas-tegasnya dan semua yang terlibat dalam perancangan dan menyokongnya mesti dijejaki serta dibawa ke muka pengadilan.

“Peranan agensi perisikan dari negara tersebut yang mempromosikan konflik antara agama untuk mengalihkan perhatian daripada pencabulan hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa, mesti diselidiki dan didedahkan dengan terperinci, ” jelasnya lagi.

Tambahnya, rakyat daripada pelbagai agama yang berbeza inginkan solidariti dan menolak perbuatan ekstrim maupun ganas yang boleh menghilangkan kedamaian serta keharmonian hidup.

Sebaliknya kata Mohd Azmi, unsur-unsur perpecahan atas nama perbezaan agama juga harus ditolak.

Beliau juga berkata kesemua 17 NGO menyanjung tinggi keamanan dan keharmonian dengan menyeru seluruh rakyat dalam negara ini untuk terus bersatu hati menolak semua perkara yang menjurus kearah keganasan.

Selain dari Mapim, NGO yang turut sama menolak keganasan tersebut ialah Citizens International, MANAR, SHURA, Persatuan Kebajikan Rakyat Sejagat Malaysia, Palestinian Scholars Association, Archbishop of Kuala Lumpur, High Priest of Malaysia Ti-Ratana Welfare

Society, Christians for Peace and Harmony in Malaysia, Evangelical Christian Fellowship Malaysia, Association of Nexgen Christians of Malaysia, Buddhist Missionary Society Malaysia, Malaysia Hindu Sangam, Federation of Taoist Associations Malaysia,Muslim Youth

Movement Malaysia serta Malaysian Gurdwaras Council.