Malaysia Dateline

17 penjawat awam di Selangor alami masalah kesihatan mental

Kerajaan negeri Selangor memberitahu terdapat 17 penjawat awam di negeri itu yang dirujuk untuk mendapatkan rawatan kerana masalah kesihatan mental.

Jumlah kes sehingga bulan lepas itu mengikut rekod perkhidmatan kaunseling yang telah dilaksanakan oleh Cawangan Pengurusan Kaunseling, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

Sehubungan itu, kerajaan negeri menyediakan perkhidmatan nasihat, bimbingan, pra-kaunseling melalui kaedah dalam talian menerusi Whatsapp, Telegram, FB Masengger dan lain-lain yang melibatkan sejumlah 420 kes.

Angka tersebut tidak mengkhusus kepada isu kesihatan mental sehingga Julai lalu, dipetik daripada jawapan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Terdahulu, ADUN Sungai Ramal, Mazwan Johar bertanyakan bilangan penjawat awam dalam negeri Selangor yang dirujuk untuk mendapatkan rawatan kerana masalah kesihatan mental.

Selain itu, wakil rakyat AMANAH itu bertanyakan tentang kemudahan yang tersedia diberikan oleh kerajaan negeri untuk membantu penjawat awam yang menghadapi masalah terbabit.

Dalam jawapan di pihak kerajaan negeri, adalah dimaklumkan laman sesawang aturan temu janji Sistem Perkhidmatan Psikologi dan Kaunseling Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (E-Psy Selangor) dan laman Facebook Pusat Kaunseling Selangor-Talian Sahabat disediakan bagi tujuan tersebut.

“Inisiatif ini bagi memudahkan pelanggan membuat aturan temu janji bersama kaunselor di Pusat Kaunseling Selangor selain memudahkan akses serta maklumat-maklumat berkaitan perkhidmatan Pusat Kaunseling Selangor,” katanya lagi.