Malaysia Dateline

17 pensyarah UIAM kalah kes saman fitnah

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam mendapati bahawa 22 orang defendan telah memfitnah bekas Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Kulliyyah Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), berhubung dengan 7 artikel berunsur fitnah yang disiarkan mereka.

Hakim Datuk Seri Mohd Fairuz Jaffril mengarahkan defendan-defendan yang juga merupakan pensyarah dan graduan universiti tersebut untuk berunding jumlah pampasan kepada plaintif, Prof. Madya Dr Afareez Abd Razak al-Hafiz.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor dan kesan negatif terhadap reputasi plaintif, kata Hakim.

Pada 5 Disember 2017, Afareez memfailkan saman terhadap 24 orang defendan termasuklah Prof. Madya Dr Mohd Burhan Ibrahim (Timbalan Dekan Pasca-Siswazah), Prof. Madya Dr Joharry Othman (bekas ketua jabatan), Prof. Dr Ainol Madziah Zubairi (Dekan), Prof. Madya Dr Suhailah Hussien (Timbalan Dekan Akademik), Dr Rosnani Hashim, Dr Sulaiman Hashim, Dr Muhammad Zahiri Awang Mat (kini di Fakulti Pendidikan KUPU Seri Begawan Brunei), Dr Haniza Rais (bekas Ketua Jabatan).

Turut disaman adalah Prof. Madya Dr Azam Othman (Pengarah Perhubungan Alumni), Prof. Madya Dr Ssekamanya Siraje Abdallah, Prof. Madya Dr Adnan Abd Rashid, Dr Rosemaliza Mohd Kamalludeen, Prof. Dr Hairuddin Mohd Ali (bekas Pemangku Dekan), Prof. Madya Dr Ariffin Mamat dan Prof. Madya Dr Mohamad Johdi Salleh (bekas ketua jabatan) kerana mendakwa difitnah.

Antara artikel fitnah adalah 1 petisyen bertajuk ‘Petition against Assoc Prof Dr Afareez Abdul Razak for Immoral Character and Indecent Conduct Unbefitting of a Leader and a Murabbi’ yang menuduh antara lain, kononnya plaintif telah menyalahgunakan dana pejabat dan membawa masuk samseng ke dalam mesyuarat universiti.

Petisyen turut mengandungi 4 artikel fitnah yang dibuat bekas pelajar universiti tersebut, Siti Syahirah Mat Nor, Nordiana Afifah Mohd Nadzri, Siti Noor Marini As’ari, Insyirah Abidin dan Nik Amalin Jazlina Nik Yaacob.

Petisyen berkenaan diberikan kepada Pejabat Penasihat Undang-Undang UIAM sehingga menyebabkan plaintif dipanggil untuk siasatan dalaman.

Semasa perbicaraan, Penasihat Undang-Undang UIAM yang dipanggil sebagai saksi memberi keterangan bahawa defendan-defendan telah gagal mengikut prosedur yang betul dalam aduan mereka kepada UIAM.

Namun, mahkamah telah menolak tuntutan melibatkan Prof. Madya Dr Tunku Badariah yang merupakan defendan kedua bagi tuduhan memfitnah plaintif secara lisan.

Pelajar yang sama merupakan pelajar yang telah menyampaikan aduan salah laku seks yang berlaku di UIAM melibatkan seorang pensyarah dari Timur Tengah.

Semasa perbicaraan kes ini berjalan, defendan kedua dan suaminya, Prof. Datuk Dr Mohamad Sahari Nordin yang merupakan defendan kelima telah mengakui diri mereka merupakan ibu dan bapa angkat kepada seorang pelajar.

Ketika ditemui, plaintif Dr Afareez berkata beliau berasa lega akhirnya penantian selama 4 tahun berakhir dengan keputusan mahkamah menyebelahi dirinya.

“Tindakan memfailkan saman fitnah ini bukan sekadar bagi membela maruah dan reputasi saya tetapi juga memastikan UIAM mengambil tindakan tegas terhadap budaya agresif di kalangan pensyarah universiti ini yang sering membuat tuduhan fitnah terhadap mana-mana pihak yang mereka tidak senangi.

“Saya berterima kasih kepada kepada semua yang terlibat khususnya saksi-saksi saya yang berani memberi keterangan walaupun ada antaranya yang diganggu dan diugut,” katanya.

Plaintif turut memanggil pegawai atasannya iaitu bekas Timbalan Rektor UIAM Prof. Datuk Dr. Mizan Hitam dan bekas Dekan Kulliyyah Pendidikan Prof. Dr. Nik Ahmad Hisham Ismail ketika perbicaraan.

Ketika ditanya apakah tindakan selepas ini, beliau yang juga merupakan penulis buku laris ‘Misteri Firaun – Musuh Para Nabi’ berasal dari Johor itu berkata akan menyambung menjalankan tugas di universiti berkenaan.