Malaysia Dateline

170 peniaga positif Covid-19, Pasar borong KL ditutup bermula 9 Mei

Seramai 170 peniaga dan pekerja di Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang didapati positif Covid-19.

Ekoran itu, pasar tersebut dilaporkan akan ditutup selama sembilan hari bermula 9 Mei, menurut laporan The Malaysian Insight.

Ini merupakan kali ketiga wabak berkenaan dikaitkan dengan penjual makanan laut di pasar berkenaan selepas kejadian April tahun lalu dan pertengahan Januari tahun ini.

Dilaporkan, daripada 900 pekerja di pasar itu, 170 didapati positif Covid-19, manakala selebihnya masih menunggu keputusan ujian saringan.

Pengerusi Persatuan Pemborong Ikan Hoi Seong Kuala Lumpur, Sing Kian Hock berkata, para peniaga telah diminta untuk menutup perniagaan Isnin depan kerana mahu menghabiskan stok dan mengelakkan kerugian apabila pasar ditutup.

Sing memberitahu The Malaysian Insight kes positif mula menular pada 29 April, dan ujian saringan yang dijalankan sehingga 3 Mei mendapati lebih banyak kes positif, sehingga lapan atau 10 kes setiap hari.

“Apabila kami sedar situasi agak serius, kami meminta semua penjual ikan dan pekerja menjalani ujian, dan mereka yang ada kontak rapat dengan kes yang disahkan menjalani kuarantin,” katanya.

Tambahnya, situasi di pasar berkenaan telah dilaporkan kepada pegawai dari Kementerian Kesihatan semalam.

Pasar Borong Kuala Lumpur mempunyai 448 gerai dan lebih 4,000 pekerja termasuk peniaga.

Daripada jumlah itu, 168 adalah gerai makanan laut, 216 gerai sayuran dan 64 gerai menjual buah-buahan.

Wabak berkenaan menular dalam kalangan mereka yang bekerja di gerai makanan laut dan jumlah kes meningkat dalam hanya beberapa hari.

Sing berkata punca jangkitan masih belum diketahui, namun ia dipercayai berasal dari luar, dan menambah ada peniaga yang menghadiri majlis hari jadi dan makan malam.

“Bermula 22 April, kes pertama dikesan, dan kes kedua dikesan pada 23 April. Ia mungkin berpunca daripada mereka yang hadir pada majlis makan dan hari jadi. Kemudian lapan orang turut disahkan daripada gerai yang sama bermula 26 April hingga 27 April,” katanya lagi.