17,109 penjawat awam Selangor terima bantuan hari raya

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (kiri) menerima buku cenderahati daripada Pegawai Kewangan Negeri Selangor Datuk Nor Azmie Diron -Foto Bernama.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (kiri) menerima buku cenderahati daripada Pegawai Kewangan Negeri Selangor Datuk Nor Azmie Diron selepas menyampaikan amanat pada Majlis Rapat Ramadan Penjawat Awam di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah hari ini.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini mengumumkan bantuan khas kewangan sempena Aidilfitri sebanyak sebulan gaji kepada 17,109 penjawat awam negeri yang akan dibayar pada 25 Jun ini.

Beliau berkata bantuan kewangan khas itu membabitkan peruntukan RM31.2 juta.

“Saya turut mendengar rintihan daripada pegawai-pegawai Persekutuan di negeri ini yang merasa mereka dianaktirikan sedangkan mereka juga bertungkus lumus membangunkan Selangor dengan dedikasi dan kesetiaan.”

“Untuk itu, bantuan khas kewangan turut akan diberikan kepada 755 pegawai dari tujuh agensi Persekutuan iaitu RM1,000 setiap seorang yang juga akan dibayar pada 25 Jun ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rapat Ramadan Penjawat Awam Bersama Menteri Besar Selangor di sini, hari ini.

Tujuh agensi persekutuan itu ialah pejabat Kamar Undang-undang, Jabatan Perhutanan, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pertanian, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kehakiman Syariah dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya dan Pegawai Kewangan Negeri Datuk Azmie Diron.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin turut mengumumkan sebanyak 10 peratus daripada bantuan khas kewangan yang diberikan kepada penjawat awam negeri Gred 44 ke atas akan disalurkan kepada Tabung Harapan Negara.

“Penjawat awam negeri gred 44 ke atas turut terpanggil untuk bersama dalam usaha murni mengurangkan bebanan hutang negara dan dengan itu 10 peratus daripada bantuan khas kewangan yang diberikan kepada setiap mereka akan disalurkan kepada tabung itu,” katanya.

CATEGORIES