Malaysia Dateline

17,150 kes baharu, Kedah catat kenaikan hari kelima berturut-turut

Sebanyak 17,150 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes terus meningkat kepada 1,130,422 kes.

Daripada kes hari ini yang dikesan, 49 peratus iaitu 8,484 kes terdapat di Lembah Klang dengan Selangor (6,326 kes), Kuala Lumpur (2,086 kes) dan Putrajaya (72 kes).

Selain Selangor dan Kuala Lumpur, tiga lagi negeri mencatatkan pertambahan kes baharu Covid-19 empat angka iaitu Kedah (1,511 kes), Johor (1,045 kes) dan Sabah (1,002 kes).

Untuk Kedah, negeri itu mencatatkan kenaikan kes harian hari kelima berturut-turut menjadikan jumlah keseluruhan mencecah 47,142 kes.

Sementara itu, terdapat 809 kes baharu dilapor di Negeri Sembilan manakala 752 kes di Pulau Pinang.

Tiga negeri merekodkan lebih 600 kes baharu iaitu Perak (693 kes), Melaka (686 kes) dan Pahang (676 kes).

Sarawak pula hari ini mengumpul jumlah keseluruhan sebanyak 77,306 kes apabila bertambah lagi 578 kes baharu.

Dua negeri berjiran di Pantai Timur Semenanjung iaitu Kelantan dan Terengganu mencatatkan lebih 400 kes hari ini masing-masing, 459 kes dan 429 kes.

Bagi Perlis pula, mencatatkan pertambahan 21 kes baharu berbanding 16 kes semalam manakala Labuan dilapor lima kes Covid-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 9,666 kes.