Malaysia Dateline

175 pekerja kilang ayam kena Covid-19, 600 pekerja lagi jalani ujian calitan

Kilang pemprosesan ayam di Kawasan Perindustrian Masjid Tanah, di Melaka diarah dihentikan operasi mulai semalam hingga 4 Jun depan ekoran 175 pekerjanya dijangkiti Covid-19.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, kumpulan pekerja terbabit kebanyakannya warganegara asing.

“Penelitian sedang dibuat mengenai Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) yang bakal dijadikan tempat mereka dikuarantin,” lapor Harian Metro hari ini.

Kerajaan negeri juga berbincang dengan pihak pengurusan syarikat itu kemungkinan untuk memindahkan pekerja terbabit ke rumah pangsa milik Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) berdekatan kawasan perindustrian itu.

Terdahulu, Rahmad (gambar atas) meninjau rumah pangsa PKNM berdekatan Kawasan Perindustrian Masjid Tanah di Masjid Tanah.

Jelasnya, asrama pekerja asing sedia ada di rumah kedai berdekatan kilang tidak sesuai dijadikan penginapan pekerja yang terlalu ramai, katanya.

Beliau berkata, ujian calitan masih diteruskan terhadap baki kira-kira 600 pekerja hari ini bagi mengenal pasti pekerja yang dijangkiti virus itu.

Semalam, Melaka mencatatkan 1,244 kes aktif termasuk 55 di unit rawatan rapi (ICU) dengan 15 memerlukan bantuan alat pernafasan manakala satu kes kematian dicatatkan.

Terdapat dua kluster baharu dikesan membabitkan tempat kerja di kilang dan dalam kalangan keluarga.

Dalam masa sama, sebanyak 175 kes positif baharu direkodkan iaitu 65 kes di daerah Alor Gajah manakala Melaka Tengah (75 kes) dan Jasin (35 kes).