Malaysia Dateline

1,750 anak yatim, fakir miskin, OKU terima bantuan Hari Raya

“Saya berasa gembira dan terharu kerana berpeluang menerima bantuan walaupun saya bukan Muslim. Jika ada peluang, saya harap tahun depan saya dapat lagi.

“Ini juga kali pertama saya mendapat sumbangan kerana hanya lima penerima dari kaum Cina sahaja yang dipilih untuk menerima bantuan. Saya rasa bertuah dan lepas ini saya boleh menjimatkan wang belanja” kata Ha Seng Houn, 69.

Ha Seng Houn

Seng, salah seorang daripada 1,750 penerima bagi golongan anak-anak yatim, fakir miskin, dan Orang Kurang Upaya (OKU) dari seluruh Wilayah Persekutuan yang menerima sumbangan barang keperluan asas berjumlah lebih RM250 seorang.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Restoran Ali Maju, Datuk Jawahar Ali Taib Khan, berkata, hampir 51 individu dan syarikat korporat telah memberikan sumbangan sehingga mencapai keseluruhan dana berjumlah RM350,000.

“Sumbangan ini bukan sumbangan peribadi dari saya seorang, tetapi pelbagai pihak yang datang menyumbang. Saya hanyalah pemudah acara menyampaikan amanah untuk golongan asnaf ini.

“Ramai ahli persatuan yang memanjangkan sumbangan mereka dan berikan kepada kami. Setakat semalam masih ada yang datang beri sumbangan berbentuk sumbangan beras dan kicap.

“Hari ini kita beri keutamaan untuk meraikan golongan asnaf dan fakir miskin sebagai jemputan orang kenamaan (VIP). Penyumbang-penyumbang yang hadir sudah beritahu merek tak mahu jadi orang kenamaan, tapi mereka mahu golongan ini yang duduk di meja sebagai VIP,”katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya 2019 dan Penyerahan Van Jenazah yang dilancarkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad di Sekolah Kebangsaan Taman Sri Rampai, pada Ahad.

Jawahar Ali Taib Khan

Dalam Majlis sama, beliau turut berkata penganjuran program sudah mencapai genap 22 tahun yang bermula sejak tahun 1997 dengan 45 orang penerima bantuan waktu itu.

Katanya, bilangan penerima bertambah dari tahun ke tahun dimana sejak empat tahun lalu, pihak penganjur telah menyediakan sebanyak 1,000 unit sumbangan untuk asnaf-asnaf di sekitar Lembah Kelang terutamanya Parlimen Setiawangsa dan Wangsa Maju.

“Kita juga menjemput lebih 5,000 penduduk setempat dari pelbagai lapisan masyarakat tidak mengira bangsa dan agama untuk berbuka puasa bersama,”katanya.

Sementara itu, Khalid dalam ucapannya berkata, program seumpama ini sentiasa mendapat sokongannya dan semua pihak perlu mengambil berat keadaan masyarakat dan membantu golongan daif miskin seperti yang ditekankan oleh Islam.

“Saya nak petik hadis nabi yang berbunyi sesiapa yang tidak ambil berat keadaan umat islam, maka dia bukan sebahagian dari mereka. Kita perlu ambil berat keadaan umat islam lebih-lebih lagi pada bulan ramadan disamping tidak melupakan orang bukan Islam yang memerlukan bantuan,”ujarnya.

Majlis penyampaian sumbangan hari raya ini merupakan kerjasama antara restoran Ali Maju Sdn Bhd dan Tahfiz Al-Madrasathul Faridiyah bersama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).