Malaysia Dateline

17,885 kertas undi pos dikeluarkan pada PRN12 Sarawak

Sebanyak 17,885 kertas undi pos dikeluarkan kepada pengundi yang berhak untuk mengundi secara pos bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12.

Menurut Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak, pengeluaran kertas undi pos itu dijalankan oleh Petugas Pilihan Raya di semua 82 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

“Kesemua 17,885 kertas undi pos tersebut terdiri daripada 16,728 kategori Borang 1A (Petugas Pilihan Raya, Ahli/Pegawai SPR, Anggota Polis, Anggota Tentera, dan Petugas Media), 365 undi pos bagi kategori Borang 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara), 679 kategori Borang 1C (9 Agensi dalam Sektor Keselamatan & Kesihatan) dan 113 Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara,” jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya lagi, proses pengeluaran kertas undi pos ini dijalankan dengan kehadiran wakil calon daripada semua parti atau individu yang bertanding.

“Dengan ini, SPR mengingatkan kepada semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Pengisytiharan Identiti (Borang 2) serta segera mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus DUN berkenaan sebelum jam 5.00 petang pada Hari Mengundi iaitu pada 18 Disember 2021 (Sabtu).

“Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial,” tegasnya.

Untuk maklumkan, SPR telah menetapkan 18 Disember 2021 sebagai hari mengundi bagi PRN12 manakala pengundian awal pada 14 Disember 2021.

Bagi PRN12, seramai 1,252,014 orang pengundi di negeri ini layak mengundi dan mereka terdiri daripada 1,228,858 pengundi biasa, 12,585 anggota tentera dan pasangan, 10,458 anggota polis dan pasangan serta 113 pengundi tidak hadir luar negara.