Malaysia Dateline

18 anak muda ambil tindakan undang-undang terhadap PM, kerajaan Malaysia dan SPR

Seramai 18 orang anak muda akan memfailkan tindakan undang-undang terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia.

Kumpulan itu yang mewakili gerakan Undi 18 itu berkata, satu semakan kehakiman akan difailkan susulan keengganan kerajaan melaksanakan undi 18 setelah ianya diluluskan dengan majoriti dua per tiga sokongan di Parlimen.

“Para pemohon menuntut dua deklarasi mahkamah iaitu (1) bahawa tindakan kerajaan menangguhkan pelaksanaan penurunan umur pengundi daripada 21 ke 18 adalah tidak rasional, tidak sah, tidak berpatutan dan merupakan pencabulan hak pengundi.

“(2) bahawa pengundi berumur 18 ke 20 tahun berhak mengundi menjelang Julai 2021,” katanya dalam satu kenyataan media sebentar tadi.

Menerusi kenyataan itu juga, para pemohon merayu kepada Mahkamah untuk membatalkan keputusan kerajaan menangguhkan pelaksanaan had kelayakan umur mengundi 18 tahun.

Selain itu, mereka juga meminta mahkamah untuk mengeluarkan arahan supaya kerajaan melaksanakan pindaan Seksyen 3(a) Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 dalam apa jua keadaan, pada atau sebelum Julai 2021.

Pada masa sama, gerakan Undi 18 juga akan melancarkan kempen mengutip dana bagi membiayai tindakan undang-undang tersebut melalui jualan T-shirt #ManaUndiKami

Jualan T-shirt yang dilancarkan untuk kos guaman