Malaysia Dateline

18 bulan PKP, rakyat sudah lemas

18 bulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah satu tempoh yang begitu lama bagi rakyat yang amat terkesan dengan kawalan pergerakan tersebut sehinggakan mereka menjadi rimas dan lemas.

Pengarah Komunikasi AMANAH Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria berkata, program vaksinisasi yang amat perlahan turut memberi kesan kepada rakyat.

Jelas beliau sasaran program vaksin Covid-19 Kebangsaan adalah 25,600,000 iaitu 80 peratus dari 32 juta rakyat Malaysia kerana vaksin tersebut perlu dua dos suntikan.

“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah berjaya menyuntik dua dos vaksin ke atas 1.7 juta rakyat.Manakala dalam tempoh lima bulan sekiranya kadar suntikan kekal seperti sedia ada maka kita memerlukan 75 bulan atau pun 6 tahun 3 bulan bagi menyelesaikan suntikan dos tersebut.

“Program ini begitu lemah dan menimbulkan persoalan apakah tiada kajian dilakukan bagaimana negara-negara lain boleh divaksin dengan lebih cepat.

“Indonesia, Singapura, Filipina dan Bangladesh terbukti lebih cepat program vaksinisasi mereka jika dibandingkan dengan negara ini. Sedangkan negara-negara Eropah yang mana penduduknya lebih ramai dari Malaysia, rakyat mereka kini ‘enjoy’ dengan bolasepak Euro2021 dan majoritinya menjadikan stadium penuh panggung,”ujar beliau.

Tegas beliau, adalah tidak wajar sekiranya alasan yang dinyatakan bahawa negara Eropah membolot vaksin sehinggakan bekalan ke negara ini terjejas sedangkan sebelum ini dengan begitu gah kita mendakwa tiada masalah bekalan vaksin tersebut.

Katanya lagi, dengan kes kematian yang sangat tunggi iaitu 100 kematian sehari secara purata, program vaksinisasi ini benar-benar amat kritikal dan perlu dipercepatkan dengan seberapa segera.

Tambah beliau, seandainya keadaan benar-benar terdesak maka adalah wajar Pusat Vaksinisasi beroperasi 24 dan bukannya bermula pada jam 8 pagi hingga 5 petang serta keadaan darurat kesihatan yang perlu menggerakkan anggota dan jentera, ke tahap maksima.