18 gabungan Persatuan Cina Klang sumbang RM3.7juta ke Tabung Harapan

18 gabungan Persatuan Cina Klang sumbang RM3.7juta ke Tabung Harapan

Sebanyak 18  gabungan daripada Persatuan-persatuan Cina Klang telah mengumpulkan dana bagi disumbangkan kepada Tabung Harapan Malaysia (THM) malam tadi.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menerima replika cek berjumlah RM3,479,100 untuk Tabung Harapan hasil sumbangan daripada 257 individu dan syarikat di Klang untuk THM.

Replika cek itu disampaikan oleh Pengerusi Persatuan Gabungan Persatuan-persatuan Klang Selangor Datuk Tony Tan.

Dr Mahathir mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang telah memberi peluang kepada Pakatan Harapan untuk memperbaiki keadaan dalam negara yang ditinggalkan oleh kerajaan kleptokrasi Najib.

“Malam ini amat jelas begini ramai yang hadir dalam satu majlis iaitu kempen Tabung Harapan. Kita dapat kutip berjuta ringgit, berbanding (hutang) 1 trilion. Ia tidak banyak tetapi yang utama semangat kita, kesanggupan kita untuk berkorban disebabkan kita sayangkan negara ini.

“Ini negara kita, ini tanah air kita, kita dilahirkan di sini dan membesar di sini dan atas sebab itu kita sayangkan Malaysia.

“Terima kasih banyak kepada mereka yang menganjurkan kempen ini… mereka mengambil inisiatif tanpa mendapat arahan daripada kerajaan. Sungguhpun jumlahnya kecil tetapi sumbangan itu yang penting,” katanya.

Majlis Kempen Derma Tabung Harapan yang diadakan di IDCC Shah Alam itu turut dihadiri, isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Ali; Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad.

Tabung Harapan dilancarkan oleh Pakatan Harapan untuk membolehkan rakyat membantu kerajaan menangani hutang negara yang dikatakan mencecah RM1 trilion.

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote