18 nelayan tempatan ditahan positif dadah di perairan Kuala Kedah

18 nelayan tempatan ditahan positif dadah di perairan Kuala Kedah

Seramai 18 nelayan tempatan ditahan selepas didapati positif dadah dalam operasi bersepadu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kota Setar di perairan Kuala Kedah dekat sini, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata 30 nelayan tempatan menjalani saringan air kencing dan 18 daripada mereka didapati positif dadah jenis syabu dan heroin semasa operasi bermula 10 pagi hingga 5 petang.

“Kesemua nelayan yang berumur antara 18 hingga 55 tahun yang didapati positif dadah itu telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut oleh pihak AADK,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mahmad Faizal berkata operasi itu bertujuan membasmi penagihan dan penyalahgunaan dadah dalam kalangan nelayan di sekitar kawasan tersebut, di samping mencegah pelakuan jenayah maritim lain.

“Operasi bersepadu ini juga adalah bertepatan dengan Projek Rintis AADK dalam menangani masalah sosial yang melibatkan penyalahgunaan dadah tersebut.

“Kita tidak akan berkompromi terhadap aktiviti yang melanggar undang-undang perairan negara dan meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai penyalahgunaan dadah dan sebarang aduan di laut, menghubungi talian 24 Jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579,” katanya.

— BERNAMA