Malaysia Dateline

18 penginapan sekolah pondok musnah terbakar

Sebanyak 18 pondok penginapan di sekolah Madrasah Addiniah Al-Latifiah di Kampung Kuak Luar, Pengkalan Hulu, Perak musnah dalam kebakaran, malam tadi.

Bagaimanapun, semua 66 pelajar yang menginap di pondok berkenaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.27 malam dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Hulu dibantu BBP Baling bergegas ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba, didapati api sedang marak membakar 18 pondok penginapan berukuran 3 meter x 4.5 meter yang terletak di belakang bangunan sekolah.

“Anggota BBP Pengkalan Hulu membuat pemadaman menggunakan paip sepanjang 120 meter dengan dua pancutan dari arah sebelah kanan sekolah. “Anggota BBP Baling membuat pemadaman menggunakan paip sepanjang 90 meter dengan dua pancutan dari sebelah kiri sekolah menggunakan sumber pili bomba berhampiran,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada jam 1.36 pagi tadi dengan semua pondok penginapan itu musnah 90 peratus, manakala sebuah surau berkeluasan 4.5 meter x 9 meter mengalami kerosakan kecil akibat bahang api.