Malaysia Dateline

#18 undi: Usul melangkau bipartisan, mengangkat semangat permuafakatan

Kementerian Belia dan Sukan berpandangan usul pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun adalah satu usul yang bersifat bipartisan dan mengangkat semangat permuafakatan antara semua ahli parlimen di Dewan Rakyat.

Menterinya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut menzahirkanucapan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong kempen Undi 18 dan usul pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat.

“Ini adalah usaha yang mengutamakan anak muda dan bakal mencorakkan masa hadapan negara Malaysia dengan penglibatan secara langsung dari anak muda.

“Cadangan yang telah dipersetujui Kabinet ini juga telah mendapat sokongan yang jelas daripada anggota parlimen pembangkang dari Pas, Umno dan BN, selain badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan sivil serta mufti,” ujarnya dalam kenyataan

Dijangka sidang dewan rakyat yang berlansung akan membentangkan usul Pindaan Perlembagaan had umur layak mengundi kepada 18 tahun pada 4 Julai ini.

Menurut Syed Saddiq lagi pindaan Perlembagaan Persekutuan ini adalah salah satu daripada usul yang bertujuan untuk memperkasakan suara dan peranan anak muda dalam memakmurkan Malaysia.

Selain itu katanya lagi, Kerajaan Malaysia juga sedang mengkaji langkah pendaftaran pengundi secara automatik, pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007, akta berkaitan pilihan raya serta penambahbaikan lain yang mampu meningkatkan keupayaan dan peranan anak muda.

“Kementerian Belia dan Sukan akan sentiasa memastikan usaha bagi mengangkat peranan anak muda tidak akan terhenti di dalam Dewan Rakyat. Penyuburan demokrasi adalah satu komitmen yang panjang dan berterusan.

“Sokongan dan sumbang saran dari rakyat Malaysia akan terusmendorong Kerajaan Malaysia untuk memperkasakan golongan muda bagi masa hadapan negara yang lebih baik,” ujarnya.