Malaysia Dateline

1,810 kes baharu 6 kematian, Selangor catat kes tertinggi

Malaysia telah merekodkan kes harian baharu sebanyak 1,810 kes pada hari ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 sebanyak 80,309 kes.

Manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 12,734 kes demikian menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Daripada jumlah kes baharu berkenaan, katanya terdapat 11 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah 1,799 kes.

Sehingga kini, tambah beliau terdapat 123 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 63 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Terdapat pertambahan enam kes kematian COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 402 kes (0.50 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),”katanya.

Negeri Selangor terus mencatat kes harian tertinggi iaitu sebanyak 829 kes (45.8 peratus) di mana 685 kes (82.6 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat kes positif COVID-19 yang giat dijalankan di lapangan.

Ini diikuti oleh negeri Sabah sebanyak 532 kes (29.4 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 132 kes (7.3 peratus).